Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail. foto HAZROL ZAINAL, 06 SEPTEMBER 2019.

PUCHONG – Pengukuhan iman dan akhlak menjadi nilai penting dalam mencegah peningkatan kes sumbang mahram di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, walaupun kerajaan telah menyedia pelbagai inisiatif dan modul mencegah kes itu, semuanya berbalik kepada nilai agama di dalam diri individu.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut meluahkan rasa sedih dengan kes yang tidak sepatutnya berlaku dalam masyarakat.

“Kerajaan sentiasa aktif bersama pelbagai pihak untuk menggembleng usaha menangani kes sumbang mahram yang semakin meningkat dalam masyarakat.

“Namun kita sebenarnya kita perlu meningkatkan iman dan akhlak seseorang individu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas majlis pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2019 di Markas Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Pulau Meranti di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas bilangan kes sumbang mahram yang dituduh di mahkamah tahun ini meningkat berbanding tahun lepas.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata sehingga Ogos, 57 kes direkodkan berbanding 21 kes sepanjang tahun lepas.

Menurutnya, 35 kes sumbang mahram tahun ini direkodkan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) berbanding tujuh tahun lepas.

“Bagi kes seksual rogol, bilangan kes yang dituduh di mahkamah setakat Ogos adalah 269 manakala tahun lepas pula mencatatkan 481 kes,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan yang diajukan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang dipaparkan di laman web Parlimen. – MalaysiaGazette