Sukarelawan sedang bergotong-royong mengutip sampah.

KUANTAN- Sejak penguatkuasaan Pelan Pemulihan Negera Fasa 2 di Negeri Pahang, ramai pengunjung berkhelah di pantai pada hujung minggu menyebabkan sampah merata-rata di sekitar pantai.

Lantaran itu, satu inisiatif diambil oleh anak muda bagi memungut sampah secara gotong-royong dikumpul di Pantai Chempaka dan Pantai Sepat, sekali gus meraikan sambutan Hari Kebersihan Sedunia.

Usaha itu berjaya mengumpul sebanyak 700 kilogram sampah.

Pengerusi Persatuan Anak Muda Bandar Raya Kuantan, Md Jamil Pauzi berkata, kedua-dua pantai itu menjadi tumpuan orang ramai.

“Program berlangsung selama tiga jam yang bermula  jam 8 pagi dan tamat 11 pagi ini, berjaya kumpulkan sampah seberat 700kg.

“Kebanyakan sampah yang dikutip terdiri daripada botol dan bekas makanan plastik berjaya dikumpulkan dalam tempoh tiga jam,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette.

Turut sama menyertai aktiviti pembersihan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Alam Flora, SW Corp Pahang serta penduduk kampung. – MalaysiaGazette