Ahmad Dasuki Abdul Majid

KUALA LUMPUR – Kira-kira 28.17 peratus daripada 1.5 juta peminjam yang patut menerima kemudahan penangguhan pembayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memilih untuk meneruskan bayaran balik pinjaman mereka.

Menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, kutipan yang diterima daripada 422,609 peminjam itu berjumlah RM595.25 juta.

Tambahnya, kutipan bayaran balik yang diterima pada Oktober 2020 juga melonjak 173.65 peratus kepada RM103.3 juta berbanding RM37.65 juta pada April lalu.

“Ini menunjukkan bahawa peminjam PTPTN masih terus berusaha membuat bayaran balik pinjaman mereka walau pun berada dalam keadaan yang  sukar  akibat pandemik Covid-19.

“Tindakan sebegini seharusnya menjadi ikutan kepada peminjan lain yang berkemampuan dan tidak terjejas disebabkan pandemik Covid- 19 ini.

“Untuk itu, PTPTN mengucapkan syabas dan jutaan terima kasih serta merakamkan penghargaan kepada semua peminjam PTPTN yang telah meneruskan tanggungjawab menunaikan bayaran balik pinjaman mereka dalam tempoh berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sejak Mac lalu, PTPTN telah melaksanakan penangguhan bayaran balik pinjaman sebagai langkah prihatin semasa negara dilanda pandemik Covid-19, kata Ahmad Dasuki.

Langkah tersebut adalah susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan peminjam PTPTN dibenarkan untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman mereka untuk tempoh enam bulan sehingga September 2020.

Bagaimanapun, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad pada 4 Ogos mengumumkan kerajaan telah bersetuju penangguhan bayaran balik pinjaman itu akan dilanjutkan sehingga akhir tahun ini. – MalaysiaGazette