musuh UMNO
Ahmad Zahid Hamidi

GENTING HIGHLANDS – Pelantikan ahli atau profesional mewakili parti politik dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) di bawah pengetahuan dan tapisan Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap parti yang membentuk kerajaan akan melakukan perundingan di bawah sekretariat itu terlebih dahulu sebelum sebarang pelantikan dimuktamadkan.

“Bagi mengelak konflik, kita melakukan rundingan, malah sebelum sesuatu pelantikan dibuat sekretariat ini akan memperincikan dahulu latar belakang individu berkenaan.

“Ini dibuat agar tokoh-tokoh mewakili parti politik yang diketengahkan mempunyai pengalaman dan latar belakang, sekali gus menguatkan kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pengenalan Calon UMNO Malaysia di Genting Highlands.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menambah, beliau bertindak memantau prestasi menteri dan timbalan menteri dari Barisan Nasional (BN) serta kementerian yang diterajui oleh pemimpin parti tersebut.

Setakat ini, beliau berpuas hati dengan prestasi menteri, timbalan menteri dan kementerian yang diterajui oleh pemimpin-pemimpin BN.

“Prestasi itu bukan hanya kementerian tetapi menteri-menteri. Kami menteri-menteri UMNO yang duduk dalam jemaah menteri dan timbalan menteri mewakili UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Saya secara rasmi memantau mereka bukan sahaja ketika memberi jawapan di Parlimen tapi jugakenyataan media yang dikeluarkan sama ada media konvesional atau atas talian,” tambahnya.

Ahmad Zahid berkata, beliau menggunakan kaedah tersendiri dalam menilai komitmen kerja yang dilakukan mereka.

Beliau yang juga Pengerusi BN dan Presiden UMNO menambah, prestasi yang ditunjukkan oleh mereka penting kerana ia mencerminkan imej parti.

“Saya memantau prestasi mereka di kementerian masing-masing walaupun saya tidak memberitahu mereka saya memantau tetapi saya mempunyai kaedah tersendiri kerana imej mereka, imej saya ialah imej parti.

“Kita akan pastikan agar harapan rakyat dan akar umbi seiring dengan prestasi menteri dan timbalan menteri,” ujar beliau. = MalaysiaGazette