VIENTIANE – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan sambutan rasmi dengan hamparan permaidani merah oleh kerajaan Laos di bangunan Pejabat Perdana Menteri di sini, hari ini, sempena lawatan rasmi dua hari beliau ke negara ini.

Sejurus tiba, Anwar yang ditemani isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menerima jambangan bunga daripada murid sekolah tempatan dan disambut oleh Perdana Menteri Laos Dr Sonexay Siphandone serta isteri Vandala Siphandone.

Lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan diikuti dengan pemeriksaan kawalan kehormat oleh Anwar, dengan diiringi rakan sejawatannya dari Laos.

Kedua-dua pemimpin kemudiannya meneruskan mesyuarat dua hala dan akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) antara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Lao National Railway State Enterprise (LNRSE) serta Mutiara Perlis Sdn Bhd (MPSB) dan Thanaleng Pelabuhan Kering (TDP).

Anwar dan Siphandone juga akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Electricite du Lao (EDL).

Ini akan disusuli dengan sidang media bersama sebelum Siphandone menghoskan majlis makan tengah hari rasmi bagi meraikan Anwar dan delegasi Malaysia.

Anwar tiba di sini petang semalam untuk lawatan sulungnya ke negara ini atas jemputan rakan sejawatannya dari Laos dengan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

— BERNAMA

 

2 Komen

Comments are closed.