M. Kulasegaran
Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran

KUALA LUMPUR – Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran menafikan laporan sebuah akhbar arus perdana berhubung kenyataannya yang didakwa menyifatkan orang Melayu sebagai pendatang.

Menurutnya, artikel yang diterbitkan pada akhbar berkenaan berunsur fitnah dan sengaja mahu mewujudkan rasis serta propaganda tentang pandangannya terhadap sejarah Malaysia.

“Saya ingin menjelaskan tentang pandangan saya yang telah diputarbelitkan oleh pihak-pihak tertentu yang mahu menimbulkan ketegangan kaum.

“Ini adalah satu fitnah dan pembohongan. Saya tidak pernah berkata begitu. Ia diputarbelitkan tanpa latar atau konteks yang sebenarnya,” katanya menerusi kenyataan.

Laporan akhbar terbabit pada 27 Julai lalu dan dakwaan-dakwaan di media sosial telah menuduh Kulasegaran membuat kenyataan kononnya orang Melayu adalah pendatang di Malaysia manakala kaum India merupakan penduduk asal negara ini.

Beliau hadir di satu majlis agama Hindu di Nilai, Negeri Sembilan minggu lalu dan mengemukakan pandangan antara lain menjelaskan bahawa sesiapa sahaja tidak sepatutnya tuduh-menuduh dengan menggelar seseorang atau sesuatu kaum sebagai pendatang kerana sama-sama berkongsi kehidupan di Malaysia.

Dalam majlis berbahasa Tamil itu, beliau tidak menyebut sama sekali tentang orang Melayu dan sudah tentu tuduhan mengatakan orang Melayu adalah pendatang merupakan fitnah dan pembohongan semata-mata.

“Apa yang saya jelaskan dalam majlis itu adalah orang India telah berada di Tanah Melayu sejak 2,500 tahun lalu.

“Agama Hindu dibawa oleh orang India ke Tanah Melayu. Hasil penemuan arkeologi di kawasan Lembah Bujang, terutamanya penemuan Sungai Batu, di Kedah telah membuktikan hal ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berpendapat tidak adil jika kaum India digelar sebagai pendatang, berdasarkan faktor-faktor sejarah itu.

“Agama Hindu merupakan agama awal yang dianuti penduduk tempatan di Tanah Melayu dan Nusantara, dan kemudiannya berkembang kepada ajaran Buddha, dan sehinggalah Islam dibawa ke rantau ini dan menjadi popular pada abad ke-15.

“Transmigrasi pula merupakan proses yang natural yang berlaku di seluruh dunia. Pelbagai kaum saling berhijrah ke merata dunia mengikut keperluan dan suasana semasa. Begitu juga dengan Tanah Melayu, Malaysia, India, China dan banyak lagi. Ini fakta sejarah.

“Semua ini adalah fakta sejarah. Jadi, apa yang saya mahu tekankan ialah sejarah patut diajar dengan fakta yang benar, tepat dan lengkap. Ini penting agar setiap warga Malaysia tahu sejarah kita sendiri,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Kulasegaran tidak menyatakan sama ada beliau mahu mengambil sebarang tindakan terhadap akhbar terbabit. – MalaysiaGazette