Zairil (kiri) menunjukkan pelan jajaran Lebuh Raya Berkembar Bukit Kukus yang dikatakan mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

GEORGE TOWN – Orang ramai bakal menikmati akses lebih sempurna dengan pembinaan Lebuh Raya Berkembar Bukit Kukus yang dijadualkan siap sepenuhnya pada hujung Oktober ini.

Pembinaan lebuh raya sepanjang 5.5 kilometer itu secara tidak langsung mengatasi masalah kesesakan teruk di sekitar Jalan Paya Terubong, Lebuh Bukit Jambul terutamanya pada waktu puncak.

Zairil (tengah) menunjukkan pembinaan Lebuh Raya Berkembar Bukit Kukus yang dijangka siap Oktober depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Zairil Khir Johari berkata, laluan terbabit akan dibuka kepada orang awam menjelang Oktober depan berbanding Julai seperti yang diumumkan sebelum ini.

Jelasnya, pembinaan itu kini sudah siap 94.83 peratus namun pandemik Covid-19 serta masalah teknikal menjadi faktor kelewatan pembinaan.

Kata Zairil, projek bernilai RM400 juta itu adalah jalan bertingkat alternatif menghubungkan antara Lebuhraya Thean Tek di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul.

“Pembinaan ini membabitkan pembinaan sambungan kepada Jalan Bukit Kukus dengan Lebuh Raya Thean Teik dan Lebuh Bukit Jambul sepanjang lima kilometer.

“Manakala sebahagian lagi adalah pembinaan pautan dari Jalan Bukit Kukus ke Jalan Tun Sardon, Balik Pulau iaitu sepanjang 600 meter.

“Apabila siap pada Oktober nanti, kita percaya ia mampu mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas sehingga 30 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan di tapak projek berkenaan.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Yeoh Soon Hin.

Mengulas lanjut Zairil berkata, laluan berketinggian 60 meter itu dijangka menjadi lebuhraya paling tinggi di Malaysia selepas jambatan Lebuh Raya Rawang-Serendah atau Rawang Bypass iaitu 58.2 meter.

Laluan dengan ketinggian 60 meter dijangka menjadi lebuhraya paling tinggi di Malaysia.

“Bagaimanapun ia akan dibincangkan bersama Malaysia Book of Records apabila ia siap kelak,” ujar Zairil. – MalaysiaGazette