Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki yang bertindak agresif menghalang tugas anggotanya ketika diperiksa kerana memandu kereta dalam pengaruh alkohol di kawasan tol Subang semalam.

Lelaki berkenaan enggan bekerjasama dan mengeluarkan kata-kata kesat selain memegang kolar baju anggota polis sebelum mengajaknya bergaduh.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, kejadian berlaku semalam lebih kurang pukul 1.15 pagi ketika sepasukan polis dari cawangan kereta peronda polis sedang menjalankan rondaan cegah jenayah telah cuba menahan sebuah kereta jenis Volkwagen Polo yang dipandu suspek.

Katanya, suspek dilihat memandu kenderaan menggunakan telefon bimbitnya tanpa mengendahkan arahan polis.

“Pihak polis telah terus cuba untuk mengarahkan suspek untuk berhenti namun suspek enggan sehingga memaksa polisĀ  mengikutinya sebelum kereta suspek berhenti secara mengejut di KM 2.6 jalan Lapangan Terbang Subang menghala kearah Lebuhraya Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, hasil semakan rekod lampau mendapati, suspek yang berusia 28 tahun itu mempunyai dua rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri kenderaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana kesalahan ugutan jenayah.

“Suspek telah ditahan serta merta dan direman selama dua hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam.

“Suspek turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.- MalaysiaGazette