Panglima Tentera Darat Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan (kanan) semasa memeriksa perbarisan pada Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 198/23 di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA), hari ini.

PORT DICKSON – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kes lemas membabitkan tiga mangsa di kolam latihan kereta kebal sebuah kem tentera di Temerloh, Pahang, semalam.

Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata lembaga yang akan ditubuhkan dalam masa terdekat itu bakal dianggotai beberapa pegawai dan pakar serta siasatan akan meliputi pelbagai sudut termasuk faktor pengawalan dan fasiliti di kawasan tersebut.

“Pegawai kita akan kenal pasti siapa saksi untuk bantu beri keterangan. Kita nak tahu punca macam mana anak-anak ini (mangsa) boleh melepasi pagar yang mengelilingi fasiliti itu..adakah ada kelemahan dari segi pengawalan atau pagar kena lebih tinggi atau diganti baru atau antipanjat.

“Kalau lapang sasar kita tak kawal sepenuh masa, tapi kalau ada latihan sebenar, ada tembakan kita akan ambil (kawal) supaya tak berlaku pencerobohan dan sebagainya..(sama seperti) di pusat latihan ini juga kita kunci dan berpagar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 198/23 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) kepada 1,436 perajurit di sini hari ini.

Muhammad Hafizuddeain berkata kebiasaannya kolam itu kosong namun diisi air kerana terdapat latihan menguji latih kenderaan Jenis A, selain musim hujan yang menyebabkan air bertakung.

“Kesemua tempat latihan tentera merupakan kawasan larangan kecuali kepada anggota serta tidak boleh dicerobohi,” katanya dan menambah TDM akan meneliti keperluan untuk menyediakan fasiliti riadah yang lebih baik untuk anak-anak di kem tentera.

Beliau yang menzahirkan dukacita atas kejadian itu berkata pihaknya juga telah menyalurkan bantuan dan wang khairat kematian kepada keluarga mangsa.

Semalam, media melaporkan dua kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dan seorang remaja lelaki berumur 13 tahun yang juga anak anggota di kem terbabit ditemukan lemas selepas disyaki mandi di kolam latihan kereta kebal sedalam tujuh kaki (kira-kira 2.1 meter).

Sementara itu, beliau berkata statistik terkini menunjukkan penglibatan bukan bumiputera dalam profesion ketenteraan masih rendah iaitu kurang daripada tiga peratus.

Justeru, beliau berkata TDM sentiasa mengambil langkah proaktif bagi menarik penyertaan lebih ramai anak muda dari pelbagai kaum termasuk memperkemas dan menambah baik skim perkhidmatan supaya lebih kompetitif selain berkolaborasi dengan agensi luar.

Beliau berkata TDM juga menyasarkan untuk mengambil lebih ramai lepasan diploma dalam pelbagai jurusan sebagai perajurit pada pengambilan akan datang, selari dengan keperluan tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran mengikut keperluan kor dan rejimen pasukan itu.

Terdahulu, pada majlis itu, Muhammad Hafizuddeain memberikan penghargaan kepada Koperal Mazlan Abdul Rahman, 35, atas keberaniannya menyelamatkan dua individu yang terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang baru-baru ini.

Mazlan yang merupakan anggota pasukan Batalion Kedua Rejimen Askar Melayu Diraja dinaikkan pangkat daripada Koperal ke Sarjan berkuat kuasa hari ini, selain turut dianugerahkan Pisau Tentera Darat sebagai lambang tertinggi warga TDM.

Beliau yang ditemui pemberita melahirkan kesyukuran atas penghargaan yang tidak disangka-sangkanya itu selain menyifatkan tindakannya adalah atas dasar membantu sesama manusia dengan tidak mengharapkan sebarang balasan,

“Masa terjun tu tak fikir apa-apa tapi nyawa milik Allah. Mak saya selalu pesan hafal surah al-Mulk jadi kita tidak akan takut untuk kematian. Saya tak kenal siapa kat bawah (lemas), dengan kursus serta pengalaman yang ada dan izin Allah saya berjaya menyelamatkan mereka,” katanya. – BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

3 termasuk dua kanak-kanak lemas dalam kolam latihan kereta kebal