1MDB Prosecutor Datuk Seri Gopal Sri Ram Rosmah Mansor solar hybrid project corruption trial Najib Razak
Datuk Seri Gopal Sri Ram

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Gopal Sri Ram menyifatkan Ahli Lembaga Pengarah (BOD) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai “sekumpulan harimau tidak bertaring” kerana gagal melindungi dan menasihati Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan urusan syarikat.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan empat kes rasuah membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama, yang dihadapi Najib, mencadangkan demikian ketika menyoal bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB Tan Sri Ismee Ismail Ismail, 57.

Sri Ram: BOD 1MDB sebenarnya adalah sekumpulan harimau yang tidak bertaring dan kamu gagal melindungi dan menasihati Perdana Menteri. Apakah pendirian kamu dalam hal itu?

Ismee: Berdasarkan semua maklumat dan pendedahan baharu, bagaimana saya akan bertindak secara berbeza? Saya akan menolak jawatan itu. Maaf untuk mengatakannya.

Saksi pendakwaan ke-13 itu berkata beliau merasakan seperti lembaga itu diguna untuk menjadikan semua inisiatif dan transaksi dalam 1MDB kelihatan sah sehinggakan maklumat mengelirukan diberikan atau lebih teruk lagi, tiada maklumat diberikan langsung dan dirahsiakan daripada lembaga itu.

Sebagai ahli lembaga pengarah, adalah sentiasa menjadi kepentingan beliau dan bekas rakan sekerjanya yang lain untuk memastikan kepentingan syarikat dilindungi, kata Ismee.

“Setiap seorang daripada kami (BOD) mempunyai perspektif berbeza tentang apa yang berlaku dalam 1MDB, termasuk persepsi kami sendiri mengenai peranan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low dalam 1MDB.

“Kami juga bercakap tentang Jho Low secara tertutup dan dari perspektif saya, beliau menguruskan hubungan antara dua pihak. Saya melihat dengan jelas bahawa beliau menguruskan hubungan antara kami (1MDB) dan Abu Dhabi. Saya dapat melihat bahawa beliau mempunyai hubungan yang baik dengan (negara) Arab,” katanya.

Sebagai ahli lembaga pengarah, Ismee berkata beliau tidak mempersoalkan urus niaga yang dibuat oleh 1MDB, tetapi lembaga pengarah pastinya akan mempersoalkan pihak pengurusan mengenai ekonomi dan daya maju urus niaga yang sedang dilaksanakan.

Bagaimanapun, Ismee berkata mereka hanya mengetahui mengenai hal ehwal 1MDB atas dasar yang perlu diketahui.

“Pada 2015, semasa kami menjadi pengarah, kami hanya tahu sebanyak ini. Kami mengetahui lebih banyak maklumat semasa siasatan dan kami dapati lebih banyak lagi sepanjang kes itu. Selepas semua ini, saya tidak fikir kami sebagai ahli lembaga pengarah boleh bertindak secara berbeza untuk melindungi kepentingan 1MDB,” katanya.

Saksi itu berkata beliau tidak menerima sebarang wang yang dikeluarkan daripada 1MDB dan juga daripada Low Taek Jho atau Jho Low.

Terdahulu, ketika membacakan pernyataan saksi setebal 111 muka surat, Ismee berkata beliau menyerahkan surat peletakan jawatannya pada 2015, kerana merasa bimbang dan tidak lagi mahu terlibat dalam keputusan yang akan dibuat oleh syarikat itu pada masa depan.

Katanya, surat itu diserahkan kepada bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin pada Jun 2015 dan surat itu tidak diterima, malah Amhari memintanya supaya menangguhkan keputusannya pada ketika itu kerana antara pilihan yang sedang dipertimbangkan adalah untuk menukar keseluruhan lembaga pengarah.

“Namun, pada 2016, kami semua Ahli Lembaga Pengarah (BOD) dan pengurusan 1MDB telah meletak jawatan memandangkan lembaga pengarah dan pengurusan baharu dilantik,” katanya.

Najib, 68, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung 13 Dis ini.- BERNAMA