ALOR GAJAH – Seekor lembu jantan seberat lebih 150 kilogram yang jatuh dan tersepit di dalam longkang sedalam lebih tiga meter di Kampung Air Mentagor, Sungai Petai, di sini, diselamat anggota Pertahanan Awam petang semalam.

Kehilangan lembu berkenaan disedari pemiliknya, Afifudin Zakaria, 29, sekitar jam 4.30 petang sebelum menghubungi Pejabat Daerah Pertahanan Awam (PDPA) Alor Gajah untuk meminta bantuan mengeluarkan haiwan itu.

Pegawai Operasi, Bencana dan Logistik PDPA Alor Gajah, Leftenan (PA) Abdul Hadi Baharom berkata, sepasukan tujuh anggota bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.40 petang.

“Sarjan (PA) Khairul Afendi Abd Aziz yang mengetuai operasi bersama enam anggota mengambil masa 30 minit untuk menarik keluar lembu itu menggunakan teknik melilit tali di celah kaki dan badan lembu.

“Teknik tanpa mengikat bagi memudahkan haiwan dilepaskan selepas ditarik keluar itu juga lebih selamat kerana tidak membahayakan anggota terbabit,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Afifudin berkata, dia terpaksa meminta bantuan APM kerana lembu berkenaan terjatuh di dalam longkang yang sempit dan dalam.

“Sebenarnya, kejadian ini bukan kali pertama dan seingat saya sudah lebih enam kali lembu ini terjatuh di dalam longkang ketika meragut rumput.

“Tapi ketika itu saya mampu selamatkan ia sendiri cuma kali ini akan sukar kerana struktur longkang yang sempit dan dalam,” katanya yang memelihara 42 ekor lembu sejak 2013. – MalaysiaGazette