Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya bercakap di sidang media mengenai isu operasi pusat maksiat dan pemberian lesen menjual arak di Pejabat Pertubuhan Muafakat, Kuala Lumpur. foto MOHD ADZLAN, 7 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) menuntut kerajaan terutama Kementerian Wilayah Persekutuan tidak melayan tuntutan beberapa NGO bukan Islam supaya menarik balik pembekuan pemberian lesen arak yang baharu.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, NGO itu melibatkan Persatuan Peniaga Arak dan Minuman Keras Cina Selangor dan Kuala Lumpur, Persatuan Hotel-Hotel Malaysia, Persatuan Peniaga Minuman Keras Bersekutu Malaysia dan Persekutuan Perdagangan Cina Malaysia menuntut untuk berjumpa dengan Menteri, Tan Sri Annuar Musa untuk membincangkan isu tersebut.

Katanya, kerajaan wajar kekal dengan pendirian mengikut perancangan pihak kementerian berkenaan dalam isu penjualan arak.

“Ini kerana penjualan arak secara berleluasa dan terbuka telah banyak merosakkan masyarakat.

“Antaranya, kehilangan nyawa yang tidak bersalah dan keruntuhan moral,” katanya pada sidang media di pejabat Pembela di Taman Melawati, di sini, hari ini.

Menurut Aminuddin, tauke arak sudah mendapat keuntungan berganda daripada penjualan minuman keras selama ini dan apakah kerana keuntungan itu, maka nyawa manusia dipandangnya tidak bernilai?

Jelas beliau, Pembela juga mendapati ada tauke pusat hiburan masih menjalankan kegiatan secara ‘curi-curi’ ketika fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ini katanya, melangkaui isu prosedur standard operasi (SOP) PKPP atau pun isu kesihatan pandemik Covid-19, kerana pusat itu banyak merosakkan masyarakat selama ini.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa membuat pemantauan khas ke atas pusat hiburan di seluruh negara, khususnya  di premis yang menjual arak dan mempunyai rekod buruk melibatkan aktiviti maksiat seperti pelacuran, dadah dan sebagainya.

“Pemantauan ini perlu supaya ekosistem aktiviti yang mendatangkan kerosakan kepada masyarakat seperti pusat hiburan dan penjualan arak dapat dibendung.

“Dalam tempoh pelaksanaan PKPP inilah masa terbaik bagi mengubah pelbagai perkara yang mungkin mustahil untuk diubah atau disentuh oleh kerajaan di luar fasa perintah kawalan pergerakan ini,” katanya.

Justeru, Aminuddin menggesa kerajaan mengembalikan Operasi Banteras Aktiviti Haram (Ops BAH) yang pernah dilaksanakan sebelum ini, apabila NGO-NGO Islam terlibat sama bagi menjayakan operasi pembanterasan maksiat dalam negara. – MalaysiaGazette