Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin Foto HAZROL ZAINAL, 04 MAC 2021.

KUALA LUMPUR – Kira-kira lima juta skrip kertas peepriksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 diperiksa secara atas talian.

Perkara itu merupakan satu sejarah baharu bukan sahaja kepada calon SPM dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat di dewan peperiksaan tetapi juga pembaharuan daripada segi peperiksaan kertas jawapan yang dibuat secara dalam talian, kata Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Selain itu katanya, proses pengeluaran keputusan disingkatkan termasuk pengedaran sijil SPM yang turut juga disegerakan.

“Penularan jangkitan Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuatkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menggunakan kaedah baharu bagi membolehkan calon dapat menduduki peperiksaan dan mendapat keputusan dengan segera.

“Kita tahu bahawa dalam konteks pelaksanaan PKP, pergerakan adalah terhad selain risiko sekiranya guru berkumpul untuk membuat pemarkahan. Maka kita berbincang untuk membolehkan guru pemeriksa membuat pemeriksaan kertas peperiksaan secara dalam talian.

“Buat pertama kali dalam sejarah, semua kertas peperiksaaan SPM diperiksa secara dalam talian kecuali seni visual.

“Ini merupakan perubahan ke arah kebaikan yang kita laksanakan dalam tempoh singkat tetapi penuh teratur dan terancang,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial hari ini.

Mengulas lanjut, Radzi berkata, skrip kertas peperiksaan itu juga diimbas dan dimuat naik ke dalam sistem yang disediakan oleh KPM.

Ujarnya, skrip kertas peperiksaan tersebut boleh diakses oleh semua guru pemeriksa di seluruh negara untuk melaksanakan pemarkahan.

“Alhamdulillah penggunaan kaedah ini mempercepatkan banyak proses namun ia bukan mudah,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Radzi memaklumkan calon SPM yang tidak mempunyai akses internet untuk mengetahui keputusan peperiksaan mereka akan dihubungi oleh pihak sekolah secepat mungkin.

Jelasnya, pihak sekolah juga akan berbincang dengan calon mengenai kaedah terbaik untuk mereka mendapatkan sijil SPM berkenaan.

“Bagi pelajar lain yang ingin mendapatkan sijil fizikal yang akan diedarkan secara berperingkat bermula 10 Julai ini, ia bergantung kepada situasi semasa dan akan dimaklumkan pihak sekolah masing-masing,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

SPM 2020 catat pencapaian lebih baik dalam tempoh 5 tahun – Radzi