Louis Van Gaal

AMSTERDAM – Louis Van Gaal mengumumkan persaraannya dari dunia bola sepak, tiga tahun selepas dipecat Manchester United.

Bekas jurulatih warga Belanda itu mengendalikan skuad the Red Devils selama dua musim di Old Trafford.

Namun bekas ketua jurulatih skuad Belanda itu dipecat dua hari selepas menjulang Piala FA England pada 2016.

Van Gaal, 67, membantu Manchester United layak ke kempen Juara-Juara Eropah dengan menamatkan saingan EPL di tempat keempat dan kelima.

Van Gaal bagaimanapun ditawarkan tugas pengurus Feyenoord musim depan namun beliau memilih untuk berehat dari dunia bola sepak.

Bercakap kepada tesen TV Belanda: “Saya kini pesara, saya tidak berhasrat untuk menjadi pengarah teknikal atau penyampai program TV.

“Isteri saya Truus telah berhenti kerja demi saya 22 tahun lalu dan mengikuti saya ke mana jua.

“Saya janji akan bersara pada usia 55 tahun tetapi terpaksa menangguhkannya sehingga 65 tahun dan kini dia berhak untuk menjalani kehidupan gembira di luar kepompong bola sepak dan dia gembira saya akan berada di sisinya setiap masa,” katanya.

Tambah van Gaal, peranan Pengarah teknikal tidak sesuai untuknya dan hanya sesuai untuk ketua jurulatih pengarah atau media.

“Sebab kamu tidak boleh hadir ke latihan harian atau bercakap sesuatu secara bebas jika mengambil peranan itu,” ujarnya.- MalaysiaGazette