Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Langkah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) meneruskan tawaran am untuk pembelian Boustead Plantations Sdn Bhd (BPlant) bertujuan untuk memastikan proses penstrukturan semula syarikat itu dapat diteruskan.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penstrukturan itu akan diteruskan kepada pemegang saham minoriti membabitkan 30 peratus dalam kalangan awam dan 33 peratus oleh Boustead Holdings Bhd (Boustead).

“Langkah itu untuk memberikan autonomi serta flesksibiliti kepada LTAT dalam menentukan hala tuju strategik serta meningkatkan potensi operasi Bplant dalam menjalankan aktiviti tambah nilai, sekali gus merealisasikan potensi maksimum syarikat itu,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini

Beliau berkata demikian ketika Sesi Penerangan mengenai Kumpulan Boustead yang juga salah sebuah anak syarikat di bawah LTAT.

Beberapa anggota Dewan Rakyat menyertai perbahasan dengan ada yang membangkitkan persoalan serta cadangan berhubung isu berkaitan LTAT dan Boustead.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, Kementerian Kewangan telahpun bersetuju menyediakan jaminan kerajaan kepada LTAT bagi membolehkan ia mendapatkan pinjaman berjumlah RM2 bilion daripada institusi kewangan.

Jelasnya, jaminan itu bagi membolehkan LTAT melaksanakan tawaran am ke atas semua saham BPlant.

Bagaimanapun, Mohamad menafikan dakwaan kononnya jaminan itu dianggap sebagai kerajaan memberikan geran tunai kepada LTAT.

“Ini saya mahu betulkan persepsi dulu. Persepsi mengatakan kerajaan bagi ‘cash grant’ (geran tunai) kepada LTAT, itu tak betul. Kita tak dapat ‘cash grant’ (geran tunai) apa-apa, sebab kita mahu dapatkan pinjaman dari institusi kewangan dengan segera kerana kita perlu bayar banyak.

“‘Cash flow’ (Aliran tunai) kita pun dalam keadaan yang tidak mengizinkan, jadi kita perlu segera. LTAT mempunyai kemampuan, tetapi dengan jaminan kerajaan ini akan mempermudahkan lagi untuk mengurus permohonan untuk kita dapat kemudahan kewangan daripada institusi kewangan dalam negara.

“Dalam masa sama, jaminan kerajaan itu taklah tinggi sangat kadar faedah akan dikenakan oleh institusi kewangan,” katanya.

Bagi memastikan jaminan kerajaan itu dimanfaatkan, Mohamad memberitahu, LTAT akan melaksanakan penstrukturan organisasi perniagaannya menerusi Pelan Strategik 2023-2025 (MAMPAN25).

Beliau turut menaruh keyakinan isu legasi itu dapat diselesaikan menerusi penstrukturan kumpulan Bousted dengan komitmen semua pihak.

“Kejayaan pensturukturan ini akan membolehkan LTAT memperoleh poftfolio yang lebih seimbang dan yang penting, kita mahu capai nisbah solvensi melebihi 100 peratus dan peningkatan pulangan pelaburan dari anak syarikat LTAT serta merealisaikan visi LTAT menjadi kumpulan persaraan yang mapan,” ujarnya.

LTAT sebelum ini dilapor merancang untuk membeli BPlant pada harga tawaran RM1.55 sesaham.

Ia adalah susulan kegagalan cadangan pelupusan 33 peratus kepentingan dalam BPlant oleh LTAT dan Boustead kepada Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK).

LTAT melalui kenyataan memaklumkan, berikutan penamatan itu, LTAT turut mengumumkan bahawa ia bertujuan untuk meneruskan tawaran am BPlant pada harga tawaran RM1.55 sesaham, tertakluk kepada kelulusan kawal selia. – MalaysiaGazette