Datuk Johari Abdul

KUALA LUMPUR – PKR hari ini dilaporkan akan mempertahankan kerusi Kulim dan Gurun pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang biarpun tewas sebelum ini.

Menurut Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Datuk Johari Abdul, biarpun kedua-dua kerusi itu adalah kerusi campuran pelbagai pengundi, namun perkara itu tidak akan menjadi kenyataan biarpun didesak Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

“Kita tak pernah minta kerusi yang ditandingi oleh DAP di Perak atau Pulau Pinang mahupun di Johor. Lim Kit Siang boleh buat kenyataan sebagai pemimpin, tetapi sebagai pemimpin saya jawab, kita akan pertahankan kerusi kita,” demikian kata Johari yang dipetik sebuah portal hari ini.

Kit Siang sebelum ini berkata, PKR harus memberikan kedua-dua kerusi itu kepada DAP bagi meningkatkan sokongan rakyat khususnya masyarakat bukan Melayu kepada Pakatan Harapan (PH) dengan meletakkan calon DAP di kawasan berkenaan.

“Di bahagian tengah (Kedah), DAP minta untuk meletakkan calon di N22 Gurun, kerusi campuran pelbagai kaum (56% Melayu, 27% Cina dan 17% India) yang mana dimenangi oleh MCA pada tahun 2013.

“Bagi selatan Kedah, DAP meminta supaya dapat meletakkan calon di kerusi N35 Kulim yang juga kerusi campuran (60% Melayu, 23% Cina dan 17 India) yang kini disandang MCA menewaskan calon PKR dalam PRU13 dengan 643 majoriti,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Pada PRU-13 lalu, PKR kalah tipis di kedua-dua kerusi berkenaan kepada MCA.

Berbanding PKR, DAP yang hanya bertanding di dua kerusi DUN Derga dan Kota Darul Aman berjaya memenangi kerusi itu.

“Kita dah diperingkat perundingan, bersetuju supaya pertamanya kerusi yang kita menangi, kita kekalkan pada parti masing-masing.

“Kedua, kerusi kita kalah tipis, yang mana di Kulim dan Gurun kita kalah tipis. Di Kulim kita pernah ada wakil di situ, Lim Soo Nee. Kita akan kekalkan kerana kita kalah tipis,” katanya. – MalaysiaGazette