Ahmad Marzuk Shaary

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan disarankan agar membentang Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) pada sesi persidangan Dewan Rakyat Mac ini.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary berharap, menterinya, Anthony Loke tidak lagi menangguhkan pembentangan itu pada sesi akan datang.

Kata beliau, tindakan melengahkan pindaan menunjukkan sejauh mana tahap keseriusan menteri untuk menyelesaikan masalah itu.

“Sewajarnya, inilah masa terbaik untuk mendapatkan pandangan awam berhubung langkah preventif dan hukuman lebih berat yang harus dikenakan ke atas pemandu mabuk melanggar orang awam sehingga cedera dan mati.

“Ahli Dewan Rakyat mendesak menteri itu untuk meminda Akta 333 sejak Mac 2019 lagi. Tetapi, alasan diberikan, masih di peringkat kajian.

“Oleh itu, menteri harus bentangkan hasil kajian termasuk mengadakan ‘townhall’ bersama pemegang taruh bagi mematangkan pindaan ini,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Jelas beliau, rakyat mahu supaya Seksyen 41, 44 dan 45 Akta 333 dipinda agar hukuman lebih keras dikenakan kepada pemandu mabuk.

Malah, kata Ahmad Marzuk, had semasa menentukan kadar alkohol dalam nafas, darah dan air kencing sepertimana ditetapkan dalam Seksyen 45G juga harus dipinda.

“Rakyat kesal kematian orang awam yang dilanggar pemandu mabuk seolah tidak mendapat pembelaan sewajarnya.

“Pada 23 Januari lalu, seorang penunggang motosikal maut dirempuh pemandu mabuk. Sebelum itu, pada 17 Januari pula, sepasang suami isteri dilanggar pemandu mabuk dan isterinya mati.

“Seorang penerbit Sukan SEA juga maut dilanggar pemandu mabuk pada Disember tahun lalu, manakala sebulan sebelum itu, seorang staf CIMB maut dirempuh pemandu mabuk di lebuhraya KESAS,” katanya.

Tegas beliau, adakah pendakwaan telah dibuat dan apakah ganti rugi telah diberikan kepada keluarga mangsa?

“Saya minta Menteri Pengangkutan segera membentangkan pindaan Akta 333 dan menawarkan solusi yang komprehensif untuk melarang sekeras-kerasnya memandu kenderaan kerana memberi kesan buruk kepada orang awam.

“Perkara ini sangat serius dan tiada kompromi lagi,” tegasnya. – MalaysiaGazette