SERI KEMBANGAN – Sebuah kuil di sini dikunjungi hampir 100 penganut agama Hindu dipercayai bagi upacara perkahwinan walaupun kerajaan melarang perhimpunan termasuk di rumah ibadat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung pandemik Covid-19.

Suasana sesak dikesan bermula 8 pagi tadi itu di rumah ibadat yang terletak di Jalan SR 5/5 Taman Serdang Raya di sini.

Kejadian disedari sekitar 10.15 pagi oleh salah seorang penduduk  yang kebetulan memandu di kawasan berkenaan dan terkejut mendapati deretan puluhan kereta di hadapan kuil diikuti orang ramai berpakaian tradisional di dalam premis tersebut.

MalaysiaGazette difahamkan majlis perkahwinan itu telah berlangsung di sebelah pagi namun para hadirin masih tidak bersurai sehingga 11 pagi sambil berbual serta menikmati jamuan makan yang disediakan tanpa penjarakan sosial.

Suasana di kuil Hindu di Taman Serdang Raya yang dikunjungi ramai dipercayai bagi menghadiri majlis perkahwinan yang dilangsungkan di situ. – Foto netizen prihatin

Kanak-kanak bawah usia 12 tahun dan warga emas turut kelihatan keluar masuk menerusi pintu kedua, sementara pintu masuk utama premis ditutup dengan ditampal notis penutupan sepanjang Covid-19.

Agak pelik bagaimana pengurusan kuil membenarkan upacara majlis perkahwinan dengan kehadiran begitu berdasarkan puluhan kenderaan yang diletakkan di hadapan kuil itu sedangkan kerajaan hanya membenarkan 84 rumah ibadat Hindu beroperasi dengan syarat SOP kesihatan yang ketat.

MalaysiaGazette juga sedang berusaha mendapatkan penjelasan pihak pengurusan kuil.

Seorang individu yang dilihat merakam insiden itu dari jalan utama hadapan kuil juga telah didekati sekumpulan lelaki mempersoalkan tindakan beliau merakam suasana di kuil tersebut.

 

“Abang tadi rakam orang ramai berkumpul di kuil? ini majlis kita (penganut Hindu), jangan peduli,” kata lelaki berkenaan.

Salah seorang penduduk yang kebetulan melalui kawasan itu juga menyatakan kebimbangan kerana risau insiden itu berkemungkinan akan mewujudkan kluster rumah ibadat.

Beliau menggesa kerajaan segera menjejaki pengurusan serta kumpulan keluarga dan sanak saudara yang hadir majlis perkahwinan itu

Beliau khuatir tuan punya keluarga yang melangsungkan majlis dengan menyalahgunakan kebenaran yang diberikan pengurusan kuil dengan sengaja membenarkan kehadiran sanak saudara agak ramai tanpa memikirkan larangan yang dikenakan kerajaan.

Usaha untuk mendapatkan maklum balas Ibu pejabat Polis Daerah Serdang juga sedang dibuat. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.