Sheikh Weshal Sheikh Ahmad

KUALA LUMPUR – Sayap UMNO meminta pucuk pimpinan melakukan sesuatu yang lebih strategik dan bersepadu bagi memulihkan semula imej parti yang tercalar akibat kemelut dan perpecahan dalaman.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Raja, Sheikh Weshal Sheikh Ahmad berkata, kemelut dalaman yang berlaku dalam parti itu tidak dapat disorok lagi dan jika dibiarkan akan tercalar lebih teruk.

Kata beliau, walaupun ada pihak mendakwa UMNO telah berpecah kepada tiga kumpulan ketika ini, tetapi apapun yang berlaku, hala tuju parti mesti dipulihkan segera.

“Ada yang kata tiga kumpulan dalam UMNO telah wujud hasil dari perpecahan yang berlaku. Pertama, kumpulan yang mahu parti bergerak sendiri pada PRU 15, kedua, kumpulan yang mahu kekal bersama Perikatan Nasional (PN), dan ketiga, kumpulan yang mahu jajaran baharu politik bersama PKR dan DAP.

“Walau apapun yang berlaku, hala tuju parti mesti ditentukan segera dan pemilihan parti adalah jalan terbaik untuk menamatkan kemelut yang melanda,” katanya di sini, semalam.

Sheikh Weshal berkata, bagi Pemuda UMNO Bahagian itu, PRU 15 merupakan talian hayat terakhir bagi parti kerana menang kalah adalah ukuran sejauh mana parti Melayu itu masih relevan dalam dunia politik tanah air.

Katanya, sesiapa yang memenangi pada pemilihan nanti, beliau akan membawa suara majoriti hala tuju parti dan semua pihak serta pimpinan wajib akur dengan hala tuju yang dibawa. – MalaysiaGazette