Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed (kiri) pada Program Sesi Sembang Petang Bersama Perdana Menteri sempena Himpunan Usahawan Bumiputera di Axiata Arena Bukit Jalil, Selangor. foto IQBAL BASRI, 30 MAC 2018

KUALA LUMPUR – Berbeza dengan pembangkang yang mengambil mudah agenda bumiputera, kerajaan Barisan Nasional (BN) pula  serius dalam usaha mengukuhkan pembangunan ekonomi kumpulan tersebut, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri mengungkit janji-janji dalam manifesto yang dikemukakan oleh pembangkang, Pakatan Harapan (PH) yang hanya sekali sahaja menyentuh agenda bumiputera.

Ia jelas tidak mencerminkan kesungguhan PH untuk mengekalkan agenda Bumiputera Nasional sebagai tiang tonggak dasar negara jika terus diberi mandat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

“Saya telah meneliti manifesto pihak di sebelah sana. Manifesto mereka ini, mengandungi 60 janji tetapi hanya satu janji yang menyebut perkataan ekonomi bumiputera, bukan janji nombor 1, 10 atau 20 tapi janji nombor 30.

“Saya belek lagi janji ini, ianya tidak ada mengandungi apa-apa kandungan substantif untuk menegakkan, meneguhkan pembangunan ekonomi bumiputera secara tuntas mahupun tegas.

“Paling kuat mereka hanya berjanji membentangkan laporan di Parlimen mengenai jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera. Itu sahaja. Apa yang kaum bumiputera dapat dari perbuatan ini?” soalnya ketika berucap sempena Himpunan Usahawan Bumiputera-sesi Sembang bersama Perdana Menteri di Stadium Axiata, Bukit Jalil petang tadi.

Najib menyifatkan pembangkang mengambil mudah agenda bumiputera malahan janji-janji mereka dalam manifesto sudah pun dilaksanakan oleh kerajaan.

“Yang lain dalam janji itu dah semua kami kerajaan BN buat. Itulah betapa ambil mudahnya pihak di sebelah sana memandang agenda Bumiputera,” ujarnya lagi.

Tambah Najib lagi, pengukuhan ekonomi bumiputera adalah menjadi komitmennya bagi menyambung legasi yang dimulakan oleh ayahandanya, Allahyarham Tun Abdul Razak dalam Dasar Ekonomi Baru.

“Adalah dasar asas kerajaan UMNO dan BN untuk membela nasib ekonomi kaum Bumiputera. Kesungguhan kami dalam perjuangan keramat ini bermula dengan Dasar Ekonomi Baru yang digubal hampir 50 tahun dulu.

“Sejak saya mula diberi amanah memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri pada tahun 2009, saya bertekad meneruskan warisan murni ayahanda saya, Bapa Dasar Ekonomi Baru, ” katanya.

Pada 8 Mac lalu, pembangkang melancarkan manifesto pilihan raya umum ke-14 yang menjanjikan 10 perkara terutama meringankan beban rakyat dalam masa 100 hari pertama pentadbiran kerajaan.

Ia terangkum dalam lima teras utama Buku Harapan yang dilancarkan Pengerusi PH, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Shah Alam baru-baru ini.

Merujuk kepada manifesto nombor 30, PH menjanjikan memajukan ekonomi bumiputera dan semua rakyat berbilang bangsa. – MalaysiaGazette