guru penerbangan
Bangunan Kementerian Pendidikan di Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Masalah yang dihadapi oleh 10 guru pelbagai kaum dan 48 ahli keluarga mereka yang berdepan kesukaran mendapatkan tiket penerbangan untuk pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri di Sabah dan Sarawak kini selesai.

Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, pihaknya cakna dan memahami kesulitan tersebut dan telah bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor serta AirAsia untuk membantu mencari jalan penyelesaian dengan mendapatkan tiket penerbangan guru-guru bersama-sama ahli keluarga yang terlibat.

“Sehubungan dengan itu, kesemua 10 guru dan 48 ahli keluarga masing-masing telah memulakan penerbangan menaiki penerbangan AirAsia seawal semalam dengan menggunakan Waran Perjalanan Udara Awam yang layak diterima,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

KPM memberitahu, seperti yang diketahui umum, semua penjawat awam yang layak menerima Waran Perjalanan Udara Awam masih beroleh manfaat seumpamanya.

“Justeru, hebahan palsu berkenaan tiket penerbangan percuma pada musim perayaan seperti yang diuar-uarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di media sosial adalah berniat untuk mengelirukan dan sedang dalam siasatan pihak polis,” jelasnya. – MalaysiaGazette