Murugiah ketika kempen PRK di Parlimen Pulai semalam.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden MIC, Datuk T Murugiah yakin dengan semangat dan sokongan yang ditunjukkan oleh rata-rata penduduk kaum India di Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri Simpang Jeram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Malah Murugiah mendedahkan, rata-rata kaum India terutamanya di Parlimen Pulai dengan pengundi hampir 20,000 orang itu sebenarnya lebih menonjol menyokong calon Pakatan Harapan (PH).

Murugiah turut turun bersama-sama menyantuni kaum itu dengan pemimpin MIC lain dalam kempen PRK itu yang sudah memasuki hari kelapan.

Katanya, walaupun rakyat macam sudah muak dengan begitu banyak pilihan raya namun tetap positif dalam memilih pemimpin mereka.

“Saya sudah berada di sini untuk berkempen untuk beberapa hari, memang masuk dan bertemu dengan penduduk setempat. Rata-rata mereka begitu positif dalam menerima kehadiran kita. Malah mereka juga mahu kepimpinan selari dengan kerajaan negeri dan pusat

“Isu-isu di Pulai ini lebih kepada isu tempatan serta sekolah Tamil. Namun semua itu sememangnya telah dan sedang ditangani oleh kerajaan negeri dan Pusat. Menteri Besar Johor juga begitu komited dalam memastikan semuanya didengari dan diselesaikan.

“Jika anda tanya, kita amat yakin dan optimis pengundi India di sini akan berterusan menyokong PH,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Kata Murugiah lagi, kempen yang menyentuh sebarang isu sensitif melibatkan kaum, agama dan institusi raja (3R) oleh pihak lawan juga tidak akan mempengaruhi komuniti itu.

“Ketika kempen, ada juga pihak cuba mainkan isu-isu seperti ini yang membakar sentimen namun apa yang kita faham, rakyat kini sudah celik dan tidak akan sesekali terpengaruh,” ujarnya.

Parlimen Pulai yang mempunyai 166, 653 orang pengundi dengan kumpulan terbesar terdiri daripada pemilih berusia 21 hingga 29 tahun iaitu sebanyak 21.05 peratus, diikuti mereka berusia 30 hingga 39 tahun (20.54 peratus) dan pengundi berusia 40 hingga 49 tahun (19.36 peratus).

Sementara itu, Simpang Jeram yang mempunyai 40,379 pengundi, pengundi berusia 30 hingga 39 tahun membentuk kumpulan terbesar sebanyak 23.1 peratus, diikuti pemilih berusia 21 hingga 29 tahun (22.6 peratus) dan mereka berusia 40 hingga 49 tahun (17.62 peratus).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal bagi kerusi Pulai dan Simpang Jeram pada 5 September, manakala pengundian pada 9 Septmber. -MalaysiaGazette