Muhammad
Tan Sri Muhammad Ibrahim. foto FAREEZ FADZIL, 22 NOVEMBER 2017

KUALA LUMPUR – Bermula tahun 2018, semua transaksi penukaran mata wang kripto kepada wang fiat akan diletak dibawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan untuk mencegah daripada sistem itu disalahguna untuk jenayah dan aktiviti melanggar undang-undang disamping memastikan kestabilan dan integriti sistem kewangan.

“Bank Negara sudah memulakan kerja asas untuk pembangunan struktur garis panduan untuk mata wang digital.

“Bermula 2018, Bank Negara akan menggariskan sesiapa yang menukar mata wang kripto kepada wang fiat sebagai institusi yang perlu dilaporkan bawah AMLA 2001,” kata beliau pada sidang 3rd Joint Regional Counter Terrorism Financing Summit di Bank Negara hari ini.

Jelas Muhammad lagi, mata wang digital akan menjadi satu fenomena dunia dan tidak boleh diabaikan lagi kerana ia menjadi satu era baharu sektor kewangan.

“Sebagai pihak berkuasa, kita tidak boleh mengabaikab dengan perkembangan ini,” katanya lagi.

Bagaimanapun, Muhammad menekankan mengenai bahaya dengan kemajuan teknologi dimana pembiayaan dana untuk keganasan aktiviti akan menjadi lebih mudah.

“Kita perlu menjangkakan pembiaya keganasan akan cuba memanfaatkan transaksi tidak dikenali yang dijalankan menerusi inovasi produk pembayaran baharu dan khidmat seperti sistem pembayaran berasaskan internet, kad prabayar dan mata wang digital,” katanya.

BNM menganjurkan Sidang Kemuncak Antipembiayaan Keganasan ketiga dengan kerjasama agensi perisikan kewangan Australia dan Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka menyampaikan ucap tama di sidang kemuncak itu esok.

Sidang kemuncak empat hari yang bermula Isnin , menghimpunkan lebih 350 pakar dan profesional daripada pertubuhan antarabangsa bagi berkongsi pandangan mereka mengenai perkembangan dan isu terkini berhubung pembiayaan keganasan. – MalaysiaGazette