Keadaan mayat seorang lelaki berusia 23 tahun ditemui terapung di dalam tali air selepas dipercayai terlibat dalam kemalangan motosikal di Jalan Kereta Api Lama, Kampung Pulau, Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka, Jumaat lalu.

ALOR GAJAH – Mayat seorang lelaki berusia 23 tahun ditemui terapung di dalam tali air selepas dipercayai terlibat dalam kemalangan motosikal di Jalan Kereta Api Lama, Kampung Pulau, Durian Tunggal di sini Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kejadian disedari orang awam sebelum menghubungi polis mengenai penemuan mayat kira-kira pukul 5.15 petang.

Katanya, kira-kira lapan jam sebelum itu, sekitar pukul 9.40 pagi, unit peronda polis telah menjumpai sebuah motosikal dengan kesan kemalangan di tempat kejadian sebelum membawa kenderaan itu ke Balai Polis Durian Tunggal.

“Kemudian sekitar pukul 5.15 petang, kita menerima panggilan orang awam mengenai penemuan satu mayat di dalam tali air kurang lima meter dari tempat motosikal terbabit ditemukan.

“Pemeriksaan awal Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan pegawai perubatan Klinik Kesihatan Durian Tunggal pada tubuh si mati mendapati kesan luka di sebelah kanan kepala serta kesan luka calar di siku kanannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Arshad, pemeriksaan lanjut turut menjumpai pelbagai barangan berharga seperti wang tunai, beg duit serta jam tangannya.

“Susulan itu, pengecaman mayat telah dibuat oleh bapa si mati dan mangsa merupakan seorang lelaki Melayu berusia 23 tahun.

“Si mati tidak tinggal bersama keluarga dan kali terakhir dilihat oleh ahli keluarga adalah di rumah neneknya kira-kira pukul 10 malam 21 April lalu di Kampung Gangsa,” katanya.

Menurut Arshad, hasil laporan bedah siasat juga mendapati kecederaan si mati adalah konsisten dengan kemalangan si mati dan mengalami kelemasan dan tiada unsur jenayah.

Polis turut meminta saksi kejadian tampil bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- MalaysiaGazette