KUALA TERENGGANU – Satu lagi mayat yang merupakan mangsa tragedi bot nelayan karam di perairan Pulau Redang Isnin lepas, ditemukan hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, mayat Raja Zainudin Raja Ibrahim, 49, ditemukan di kedudukan 9.4 batu nautika utara Pulau Redang pada 12.30 tengah hari tadi, selepas APMM menerima laporan daripada nelayan tempatan yang menemukan objek terapung pada 11 pagi.

“Aset maritim Kapal Maritim Bagahak yang sedang beroperasi diaturgerakkan ke lokasi aduan tersebut. Mayat mangsa telah dibawa ke Jeti Maritim Negeri Terengganu sebelum proses pengecaman dan bedah siasat dijalankan di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini,” katanya dalam kenyataan hari ini sambil menambah pengecaman dilakukan isteri mangsa, Rosainy Mohd Zin.

Muhammad Suffi dalam kenyataan semalam memaklumkan operasi mencari dan menyelamat dua lagi nelayan tempatan yang hilang iaitu Raja Zainudin dan Ahmad Zamri Ishak, 66, ditamatkan pada 7 malam susulan tiada lagi petunjuk baharu diperoleh.

Dalam kejadian pada 10 malam Isnin itu, bot nelayan dinaiki enam lelaki karam selepas dilanda ribut di kedudukan lebih kurang 10 batu nautika dari Pulau Redang.

Mangsa yang selamat adalah Muhammad Kamaruddin Yudi, 31, manakala tiga lagi iaitu Saludin Ismail, 50, Ahmad Nazri Ishak, 48, dan Zulkifli Umar, 48, ditemukan lemas di lokasi berbeza kira-kira 1.7 hingga 1.9 batu nautika dari Pulau Redang pada Rabu lepas.- Bernama