Sekumpulan anggota polis sedang memeriksa sebuah kereta selepas mayat seorang lelaki ditemui di dalamnya. foto Bernama

SUNGAI PETANI – Mayat seorang lelaki berusia 41 tahun ditemui dalam keadaan berlumuran darah di dalam sebuah kereta jenis Nissan Grand Livina berwarna putih, berhampiran tapak pasar malam Taman Bandar Baru dekat sini awal pagi tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Supt Sazalee Adam berkata, kejadian itu disedari seorang lelaki yang bertugas sebagai peronda di kawasan terbabit sebelum menghubungi Balai Polis Bedong pada pukul 4.15 pagi tadi.

“Mangsa yang dikenali sebagai A Muniandi, ditemui dalam keadaan terbaring di bahagian tempat duduk pemandu…siasatan mendapati terdapat beberapa kesan tikaman pada bahagian badan dan leher mangsa.

“Siasatan lanjut masih diteruskan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.. mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk proses bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Sazalee berkata mangsa yang bekerja di Singapura sejak 10 tahun lalu, dipercayai baru sahaja pulang ke Sungai Petani beberapa hari lepas.

“Polis masih menyiasat motif kejadian memandangkan tiada barang berharga milik mangsa yang hilang,” katanya. – MalaysiaGazette