Pasukan penyelamat percaya mayat seorang lagi mangsa tanah runtuh Bukit Kukus, Paya Terubong di sini, berada berhampiran kawasan mayat kesembilan tragedi itu ditemui, semalam.
Pasukan penyelamat percaya mayat seorang lagi mangsa tanah runtuh Bukit Kukus, Paya Terubong di sini, berada berhampiran kawasan mayat kesembilan tragedi itu ditemui, semalam.

GEORGE TOWN – Pasukan penyelamat percaya mayat seorang lagi mangsa tanah runtuh Bukit Kukus, Paya Terubong di sini, berada berhampiran kawasan mayat kesembilan tragedi itu ditemui, semalam.

Ini berdasarkan keterangan yang diperoleh daripada mangsa yang cedera dalam kejadian itu, Syamim yang kini dirawat di Hospital Pulau Pinang, kata Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang Mohamad Shoki Hamzah.

Beliau berkata ketika kejadian Mohamad Rahaz, yang sehingga kini masih hilang dikhuatiri tertimbus, dikatakan cuba menyelamatkan diri bersama Mohamad Uzzal sebelum kedua-dua mereka ditimbus dalam runtuhan tanah itu.

Mayat Mohamad Uzzal, 33, ditemui di bawah sebuah kontena pada petang semalam pada kedalaman lima meter.

“Malam tadi kami pergi berjumpa Syamin di ICU HPP bagi mendapatkan maklumat berhubung Md Rahaz yang merupakan rakannya dan dia memberitahu melihat sendiri mereka (Rahaz dan Uzzal) tertimbus ketika melarikan diri bersama,” katanya ketika di hubungi Bernama di sini hari ini.

Syamim, 24, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pulau Pinang dan keadaannya dilapor stabil.

Mohamad Shoki berkata ketika ini jengkaut sedang mengalihkan tanah yang berada di kawasan berhampiran tempat penemuan mayat Mohamad Uzzal dan pihaknya juga tidak menolak kemungkinan mayat Mohamad Rahaz tertimbus lebih dalam iaitu kira-kira 10 meter.

Selepas selesai semua tanah di kawasan itu dialihkan, unit anjing pengesan (K-9) bomba akan masuk untuk membuat pencarian mayat lelaki Bangladesh itu, katanya.

Setakat ini,sembilan mayat telah ditemui terdiri daripada tiga lelaki Indonesia, lima lelaki Bangladesh dan seorang wanita Myanmar, manakala seorang lagi lelaki Bangladesh dilapor masih hilang dipercayai tertimbus dalam runtuhan itu.

Kejadian yang menimbus kontena serta rumah kongsi pekerja binaan Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus itu turut menyebabkan empat orang cedera terdiri daripada seorang lelaki Bangladesh, dua wanita Indonesia, seorang daripadanya mengandung empat bulan, dan seorang wanita Kemboja.

— BERNAMA

Tanah runtuh: Mayat ke-9 ditemukan berhampiran kontena terakhir

DOSH tubuh jawatankuasa siasat tanah runtuh Paya Terubong