aminuddin
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap pada sidang media khas selepas pasca Pilihan Raya Negeri ke-15 (PRN) di Kediaman Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan, Seremban. Foto AFFAN FAUZI, 13 OGOS 2023.

SEREMBAN – Majlis mengangkat sumpah Menteri Besar Negeri Sembilan bagi penggal baharu akan berlangsung di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah pukul 3 petang esok.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun kepada pemberita di kediaman rasminya di sini hari ini.

Dalam sidang media sebelum itu, Aminuddin berkata, beliau telah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi menerangkan tentang situasi yang berlaku selepas pilihan raya negeri (PRN) semalam.

Berhubung pencalonan Menteri Besar dan pelantikan Exco kerajaan negeri, beliau memberitahu, perkara itu akan diputuskan segera oleh pucuk parti peringkat pusat dan Tuanku Munawir mahu ia disegerakan.

“Kita berharap dapat diselesaikan segera seperti titah Tuanku dalam masa sehari dua ini,” katanya.

Aminuddin berkata, PH masih sebulat suara mencadangkan nama beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dan pendirian itu tidak berubah.

Ahli Parlimen Port Dickson itu menambah, perbincangan lanjut akan diadakan antara PH dan Barisan Nasional (BN) mengenai pengisian jawatan exco kerajaan negeri.

“Kita akan pastikan ia betul-betul mewakili semua parti,” jelasnya.

Aminuddin yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat turut menasihatkan semua ahli dan penyokong PH dan BN agar dapat bersabar sehingga Kerajaan Perpaduan dibentuk di negeri ini.

Beliau juga menyifatkan prestasi PH dan BN pada PRN Negeri Sembilan agak baik walaupun tidak mencapai sasaran memenangi kesemua 36 kerusi.

“Ada kawasan yang kita lihat ramai pengundi tentera di Gemas dan Bagan Pinang, itu antara faktor juga,” katanya.

Aminuddin berkata, PH dan BN juga gagal mempertahankan penguasaan di kawasan Felda serta pinggir bandar yang sebelum ini dikenali sebagai kubu kuat mereka.

“Ini menjadi amaran kepada kita bagaimana untuk kita mengenal pasti punca kekalahan tersebut,” jelasnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. ok MB dari PH… kes Rujuk PERAK BN ciput PH majority tapi UMNO jadi MB. Adil tukar ganti tanda BUKTI KERJASAMA hahaha.. ZAHID HAMIDI are you ready….

Comments are closed.