Calon BN N.02 Tanjung bidara Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh melambaikan tangan selepas membuang undi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di SK Jeram, Melaka. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 NOVEMBER 2021.

MASJID TANAH – Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi N02 Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sempat menggamit kenangannya ketika bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, di sini.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang tiba di pusat daerah mengundi itu tidak menafikan beliau berasa semangat sewaktu melangkah masuk semula ke sekolahnya kira-kira 8.16 pagi tadi.

“Saya bersekolah di sekolah ini pada 1967 ketika itu darjah satu. Suasana sekolah ini tidaklah sebaik ini. Kita beratapkan nipah, berlantaikan tanah.

“Sekolah ini kini menjadi salah satu sekolah yang terbaik di kawasan ini,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan SK Jeram, di sini, pagi ini.

Terdahulu bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka itu membuang undi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di saluran satu, di SK Jeram, di sini kira-kira 8.44 pagi tadi.

Ab Rauf yang mengenakan baju batik bercorak abstrak pada awalnya menyantuni pengundi-pengundi warga emas di pintu masuk SK Jeram sebelum beliau bergegas kelas untuk membuang undi.

Dalam pada itu, Ab Rauh juga berazam untuk kembali berkhidmat di kawasan itu sekiranya diberi mandat oleh rakyat pada PRN Melaka, kali ini.

“Jadi semangat saya pada hari ini menyorot kembali apa yang telah diperolehi daripada pendidikan awal di sekolah ini.

“Saya akan kembali berkhidmat kepada masyarakat Tanjung Bidara khususnya di dalam Masjid Tanah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette