Amirudin (kiri) menyambut ketibaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kelmarin.

SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dijangka menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini jam 3 petang.

Difahamkan ini merupakan pertemuan berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor selepas kemenangan Pakatan Harapan membentuk kerajaan di negeri tersebut.

Menurut sumber tertinggi PKR, Amirudin telah dicalonkan semula dan turut mendapat restu dalam kalangan pimpinan utama PH.

“Memang ada tiga nama seperti permintaan Istana tetapi keutamaan adalah Datuk Seri Amirudin Shari. Tidak ada pun isu cantas mencantas seperti dilaporkan dalam media.

“Istana turut meminta membawa cadangan senarai nama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor yang baharu serta calon simpanan jika ada ketika menghadap petang ini.

“Istiadat Angkat Sumpah insyaallah pada Isnin, 21 Ogos ini,” katanya ringkas kepada MalaysiaGazette pagi ini.

Dua lagi nama lain yang akan dipersembahkan kepada Istana ialah Dr Fahmi Ngah calon PKR yang memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia dan Borhan Aman Shah yang masuk penggal kedua sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat.

Semalam MalaysiaGazette melaporkan Menteri Besar Selangor dijangka akan mengangkat sumpah selewat-lewatnya Isnin depan selepas kemenangan PH menang dan boleh membentuk kerajaan di negeri ini pada PRN ini.

‘Kelewatan’ ini juga berikutan memberi ruang kepada Istana Selangor membuat persiapan sewajarnya sejurus selepas Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj kembali sihat dan selamat pulang ke tanah air selepas menjalani prosedur perubatan di luar negara hari ini.

Sejak beberapa hari ini, kecoh kononnya akan ada pertukaran Menteri Besar di Selangor dengan rata-rata menyebut nama Fahmi Ngah sebelum PRN lagi nama namun Amirudin difahamkan mendapat lebih banyak sokongan akar umbi dan pimpinan tertinggi malah positif dengan Istana.

Sabtu lalu, gabungan PH-BN berjaya membentuk kerajaan negeri Selangor selepas menang 34 daripada 56 kerusi DUN.

Jumlah 34 kerusi itu diperoleh menerusi DAP sebanyak 15 kerusi, PKR pula 12 kerusi, AMANAH lima kerusi manakala BN dua kerusi manakala PN menang 22 kerusi menerusi BERSATU sebanyak 12 kerusi manakala PAS mendapat 10 kerusi. -MalaysiaGazette

Menteri Besar Selangor angkat sumpah selewatnya Isnin depan?

Johan dijangka jadi Exco Selangor