Anthony Loke (baju hitam putih) melakukan tinjauan tren Komuter dari KL Sentral ke stesen Bandar Tasik Selatan petang tadi.

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan akan menemui pengurusan Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) dalam masa terdekat bagi membincangkan cara menambah baik perkhidmatan dan kekerapan tren.

Kenyataan itu dibuat Anthony Loke selepas meninjau sendiri perkhidmatan KTM Komuter dan keadaan di Terminal Bersepadu Selatan petang tadi.

Beliau menaiki tren dari KL Sentral ke stesen Bandar Tasik Selatan, selain meninjau situasi di Terminal Bersepadu Selatan (TBS), dekat sini.

”Saya menerima banyak maklum balas dari media sosial berkenaan perkhidmatan Komuter dan masalah mencetak Pas Masuk Bas di TBS.

”Saya faham bahawa KTMB menghadapi pelbagai kekangan operasi yang disebabkan oleh projek menaiktaraf landasan KVDT1 yang masih belum siap dan KVDT2 yang tergendala,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau juga akan berjumpa dengan pihak pengurusan TBS untuk membincangkan kesiapsiagaan untuk menguruskan jumlah penumpang yang ramai pada hujung minggu dan musim perayaan. – MalaysiaGazette