Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Tindakan 12 menteri mengutuskan surat kepada Yang di-Pertuan Agong jelas membelakangkan institusi Perdana Menteri yang mana pelantikannya telah diperkenan oleh Seri Paduka Baginda sekaligus mengikis semangat solidariti dalam pentadbiran kerajaan.

Malah menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, sejak akhir-akhir ini ada dalam kalangan Jemaah Menteri yang membuat kritikan secara terbuka terhadap keputusan dan dasar kerajaan.

Katanya, tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan musuh utama PN adalah Barisan Nasional (BN) juga telah mengundang bibit-bibit perpecahan, sedangkan partinya turut menganggotai kerajaan.

Muhyiddin juga, menurut Ismail Sabri selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), pernah membuat kenyataan yang menyarankan agar Parlimen dibubarkan kerana mendakwa kerajaan gagal dalam menguruskan negara dan ekonomi dengan baik.

“Kerajaan hanya mampu berfungsi dengan baik melalui kebersamaan dan kesepakatan dalam memberikan perkhidmatan serta manfaat terbaik kepada Keluarga Malaysia.

“Negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil untuk mendepani cabaran mendatang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri merujuk kenyataan media Istana Negara semalam yang menyatakan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan kekecewaan terhadap perkembangan politik semasa tanah air.

Ismail Sabri menarik perhatian mengenai perutusan khas semalam yang menjelaskan pembubaran Parlimen Ke-14 ini adalah untuk menoktahkan suara- suara yang selama ini meratib keabsahan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap dengan memulangkan semula mandat kepada rakyat.

Keputusan ini juga, katanya, bagi menghalang daripada tercetusnya ketidakharmonian dalam pentadbiran kerajaan berikutan tindakan tidak wajar 12 menteri yang mengutuskan warkah kepada Seri Paduka Baginda. – MalaysiaGazette