Sembilan lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka hari ini, atas pertuduhan melakukan rusuhan menggunakan senjata termasuk parang hingga mendatangkan cedera parah di sebuah taman perumahan di Jasin, dua minggu lalu.

MELAKA – Sembilan lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini, atas pertuduhan melakukan rusuhan menggunakan senjata termasuk parang hingga mendatangkan cedera parah di sebuah taman perumahan di Jasin, dua minggu lalu.

Tertuduh, P Kogilanathan, 24, A Loges, 30, V Megan, 26, R Thiven, 26, D Mahendran, 43, P Thanabalan,33, N Murthy, 37, D Thivendran,33, dan M Kugan, 28, bagaimanapu mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut kertas pertuduhan, semua mereka didapati merusuh menggunakan senjata parang, besi dan kayu hingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala dan badan di persimpangan Taman Ayer Merbau, Jasin, di sini, pada 12.33 tengah malam 11 September lalu.

Sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nora Yaacob menawarkan setiap tertuduh dikenakan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Sementara itu, Kogilanathan turut berdepan dua pertuduhan lain iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Mahendran serta Murthy dengan menggunakan sebilah parang iaitu senjata yang boleh menyebabkan kematian di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi pertuduhan ini, Nora mencadangkan tertuduh dikenakan jaminan RM25,000 bagi setiap pertuduhan.

Jika disabitkan kesalahan, Kogilanathan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebat mengikut Seksyen 326 kanun sama.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Jason Anthony Ignasius, V Segaran dan S Amritpal Singh merayu jaminan rendah atas alasan anak guam mereka hanya berkerja sebagai pemandu lori dan pembantu kedai runcit selain perlu menanggung keluarga.

Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, Hakim Elesabet menetapkan jaminan RM7,000 bagi setiap tertuduh untuk pertuduhan Seksyen 148 manakala Kogilanathan dibenarkan ikat jamin berjumlah RM12,000 bagi dua pertuduhan Seksyen 326.

Mahkamah menetapkan kes disebut semula pada 7 November ini untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette