Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan mengadakan mesyuarat Kabinet esok bagi membincangkan dua isu utama negara iaitu isu kos sara hidup dan bekalan barang yang melanda negara ketika ini.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat itu dipercepatkan kerana kedua-dua isu tersebut merupakan masalah global dan bukan hanya membabitkan kekurangan bekalan ayam semata-semata

Perdana Menteri menjelaskan, beliau juga sudah mengarahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan membentangkan pelan bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang dan bekalan bahan mentah termasuk ayam yang kritikal ketika ini.

“Kerajaan bukan hanya tumpu ayam semata-mata tetapi kos sara hidup yang kita jangka meningkat.

“Ini adalah masalah fenomena global, masalah perang dan sebagainya, sudahlah pandemik tidak boleh keluarkan makanan lama dan bila elok (pulih) sikit, tiba-tiba perang kerana penawaran makan terjejas teruk kerana gandum ini satu pertiga pengeluaran dikeluarkan oleh Rusia dan Ukraine.

“Banyak negara lain juga keluarkan (gandum) tapi mereka menyekat eksport ke negara lain untuk kegunaan dalam negara sendiri.

“Jadi esok pagi mesyuarat Kabinet untuk melihat kedua-dua perkara ini dan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna diminta bentang kepada Kabinet esok.

“Ini adalah masalah fenomena global, masalah perang dan sebagainya, Sudahlah pandemik tidak boleh keluarkan makanan dan bila elok (pulih) sikit, tiba-tiba perang,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan (kiri) bergambar kenangan bersama tetamu yang hadir pada Majlis Perasmian Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 22 MEI 2022.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Ismail Sabri diminta mengulas kekurangan ayam segar di pasaran yang masih lagi membelenggu rakyat Malaysia terutamanya kepada penjual dan pengguna sepanjang minggu lalu. – MalaysiaGazette