Darell Leiking

KUALA LUMPUR – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mempunyai 399 projek perkilangan dan perkhidmatan dengan pelaburan berjumlah RM23.7 bilion, yang masih dalam peringkat perbicangan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking berkata, kerajaan juga akan mengambil peluang ke atas implikasi perang perdagangan antara Amerika Syarikat dan China untuk menarik pelaburan asing.

Menurutnya, China merupakan rakan perdagangan utama di Asia Tenggara termasuklah sektor pelaburan dan pelancongan.

Pengilang-pengilang dari China sekarang sedang meneroka peluang pelaburan di Asia Tenggara termasuk Malaysia sebagai alternatif untuk menjalankan aktiviti pengeluaran mereka dan seterusnya mengeksport keluaran tersebut ke Amerika Syarikat.

Katanya, Malaysia mensasarkan untuk menarik pelabur-pelabur dari negara China dari sektor-sektor berteknologi tinggi, nilai tambah tinggi, berintensif modal dan tidak mencemarkan persekitaran.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Annuar Musa (Ketereh-BN) yang bertanyakan sasaran pelaburan pada tahun ini.

Darell memberitahu, MIDA telah meluluskan pelaburan langsung asing sebanyak RM80.5 bilion pada tahun lalu berbanding dengan RM54.4b pada tahun 2017 iaitu pertambahan sebanyak RM21.6 bilion atau 48 peratus.

Daripada jumlah ini, RM26.5 bilion diluluskan dari bulan Januari hingga Jun 2018 (33 peratus daripada jumlah) dan RM54 bilion diluluskan dari bulan Julai hingga Disember 2018 (67 peratus).

Jumlah pelaburan asing yang diluluskan di sektor perkilangan untuk tahun 2018 adalah RM58.0 bilion berbanding RM21.6 bilion pada tahun 2017, kenaikan sebanyak 169 peratus. – MalaysiaGazette