Gelagat gelandangan di tengah ibu kota ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di sekitar Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 16 JANUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mempunyai strategi jangka panjang yang tersusun untuk mengurangkan jumlah golongan miskin bandar.

Antara strategi yang boleh dilaksanakan adalah membawa lebih banyak industri ke luar bandar berbanding bertumpu hanya di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Ahli Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, meskipun golongan miskin bandar wujud di seluruh bandar utama di dunia namun angkanya perlu dikawal agar tidak ‘membesar’.

Kawalan itu perlu supaya ia memudahkan proses bantuan kerajaan kepada golongan-golongan rentan ini, ujarnya.

“Bukan luar biasa jika golongan miskin bandar di Kuala Lumpur bertambah kerana ia berlaku akibat penghijrahan dari luar bandar ke bandar.

“Namun jumlah ini perlu dikawal dengan baik dan terancang, melalui mewujudkan peluang pekerjaan di luar bandar.

“Dengan cara ini, kebergantungan golongan tersebut kepada kerajaan secara langsung atau tidak langsung dapat dikurangkan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Beliau mengulas jumlah golongan keluarga dan individu miskin bandar di Kuala Lumpur yang dianggarkan lebih kurang 30,000 orang berdasarkan pendapatan kurang daripada RM2,200 sebulan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, jumlah itu merupakan anggaran kasar dan gambaran kepada tahap kemiskinan warga ibu kota.

Jumlah itu berdasarkan data Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sebanyak 23,000 ketua keluarga yang perlu diberi bantuan manakala data oleh Kebajikan Masyarakat pula ialah 13,000 dan pihak kementerian merekodkan 20,000 yang perlu diberikan bantuan.

Kata Kok Seong, walaupun golongan ini perlu diberi perhatian oleh kerajaan tetapi pada masa yang sama, kerajaan juga harus membantu mereka untuk berdiri sendiri.

Kerajaan tidak boleh terus menerus membantu golongan ini dengan menghulurkan bantuan tunai atau sebagainya, tambah beliau.

“Untuk jangka pendek tidak mengapa, tetapi bukan untuk jangka panjang memandangkan golongan ini juga berhak untuk keluar daripada kepompong kemiskinan dan menjalani kehidupan lebih baik,” ujarnya.

Selain menarik pelabur di kawasan luar bandar, kerajaan juga boleh membantu dengan memberi latihan sebagai peniaga mikro, kata Kok Seong.

“Dengan kaedah ini, masalah miskin bandar dapat dikawal dengan baik,” tambahnya. – MalaysiaGazette