Darell Leiking

KUALA LUMPUR – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking akan mengetuai misi perdagangan dan pelaburan ke Chile, Argentina dan Brazil bermula 20 hingga 24 Mei ini.

Mis yang merangkumi perjumpaan semula dengan wakil kerajaan, dewan perniagaan, persatuan dan syarikat yang terdapat di ketiga-tiga negara berkenaan bertujuan untuk meningkatkan lagi ekonomi dua hala serta hubungan dagang antara semua negara terbabit.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan berkata, pelbagai perbincangan termasuk mesyuarat perniagaan secara bersemuka dengan peneraju industri terpilih juga akan diadakan.

Ini bagi mempromosi perniagaan dan peluang pelaburan di Malaysia dalam sektor berpotensi seperti automotif, peruncitan, perabot, sarung tangan getah, industri halal, teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan perkhidmatan.

Misi akan bermula di Santiago, Chile pada 20 Mei, seterusnya di Buenos Aires, Argentina pada 21 Mei dan Brasilia serta Sao Paulo, Brazil pada 22 hingga 24 Mei.

Darell dijangka membuat kunjungan hormat kepada Presiden Persekutuan Republik Brazil, Jair Bolsonaro semasa berada di Brasilia.

Manakala di Buenos Aires pula, beliau akan membuat kunjungan hormat kepada Naib Presiden Republik Argentina, Marta Gabriela Michetti sebagai susulan kepada pertemuan mereka di Kuala Lumpur pada 6 Mei lalu.

Malaysia dan Chile merekodkan perdagangan sebanyak RM1.32 bilion pada tahun lepas dengan eksport Malaysia ke Chile berjumlah RM810 juta manakala import berada pada RM510 juta.

Lebih 60 peratus daripada eksport ke Chile disumbangkan oleh produk kimia, getah, kayu, elektrik dan elektronik serta minyak sawit.

Sementara itu, lebih 60 peratus daripada import dari Chile terdiri daripada logam sekerap, makanan laut, produk segar, sejuk atau sejuk beku serta produk agrikultur.

Bagi dagangan dengan Argentina pula, ia berjumlah RM5.39 bilion pada 2018 dengan eksport ke negara berkenaan adalah sebanyak RM0.57 bilion dan import sebanyak RM4.81 bilion.

Produk getah, elektrik dan elektronik, petroleum, minyak sawit, jentera, dan peralatan alat ganti menyumbang hampir 70 peratus daripada eksport ke Argentina.

Manakala, dagangan dua hala dengan Brazil pada 2018 adalah sebanyak RM11.57 bilion dengan eksport ke negara berkenaan sebanyak RM3.64 bilion dan import sebanyak RM7.93 bilion.

Daripada jumlah berkenaan, 77 peratus disumbangkan oleh produk elektrik dan elektronik, getah, bahan kimia, minyak sawit serta alatan jentera.

Sebanyak 82 peratus import dari Brazil pula datangnya daripada produk agrikultur serta makanan proses.- MalaysiaGazette