Dr Akmal Saleh

JASIN – Pemuda UMNO memberi tempoh dua hari kepada pengurusan KK Mart untuk memasang kain rentang permohonan maaf di semua 881 cawangannya di seluruh negara susulan kebiadabannya menjual stoking kalimah Allah.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh menegaskan, jika gagal, Pemuda UMNO di seluruh negara akan melancarkan gerakan memboikot rangkaian kedai serbaneka itu sehingga ianya terpaksa ditutup.

Menurutnya, walaupun Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Mart, Datuk Seri Dr KK Chai sudah membuat permohonan maaf semalam, ia tidak cukup kerana membabitkan isu sensitiviti 3R (bangsa,agama dan raja).

“Tidak boleh hanya dengan linangan air mata sahaja kita lepaskan. Kali ini kita minta seluruh rakyat Malaysia berikan pengajaran tegas kepada mereka.

“Kamu (KK Mart) ada 881 cawangan seluruh negara jadi kita beri tempoh dua hari sahaja untuk pasang kain rentang meminta maaf kepada umat Islam di seluruh negara terhadap insiden ini.

“Kalau gagal, kita akan pastikan boikot terhadap KK Mart akan bermula dan akan pastikan cawangan yang pertama yang akan diboikot adalah di Merlimau sampai tiada langsung orang datang sehingga ditutup,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis berhubung insiden itu di Balai Polis Merlimau, di sini, malam tadi.

Dr Akmal menunjukkan laporan polis yang dibuat di Balai Polis Merlimau, Jasin, Melaka malam tadi.

Mengulas lanjut, Dr Akmal berkata, beliau juga telah mengarahkan Pemuda UMNO di setiap negeri membuat laporan polis untuk membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 298 (A) Kanun Keseksaan.

“Saya turut menyeru apa jua parti politik mahupun badan bukan kerajaan (NGO) bersama membuat laporan polis sebagai tanda bersatu bersolidariti dalam hal yang membabitkan isu 3R ini.

“Ini adalah satu pengajaran bukan sahaja kepada KK Mart tapi mana-mana pihak yang biadab sebegini dan perlu diajar dengan sekeras-kerasnya,” tegasnya lagi.

Penjualan stoking kalimah Allah di KK Mart Bandar Sunway, tular selepas gambar produk diimport pembekal dari negara China berkenaan dimuat naik pengguna di media sosial sejak 13 Mac lalu.

Susulan itu, pelbagai pihak tampil mengecam tindakan kedai serbaneka itu sebelum pengasasnya dan syarikat pembekal membuat sidang media permohonan maaf semalam. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Boikot jaa terus. Dok berlembut cmni yg buat diorg tak pernah serik. Setakat kain rentang bernilai rm50-60 hinggit, diorang gelak ja lepas seminggu pasang. Tak berkudis pun bisnes diorg. Yg pelik lg, takda tindakan oleh pihak berwajib kah?

Comments are closed.