Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd berkemungkinan melaksanakan pusingan terbaharu langkah pemberhentian beratus-ratus pekerjanya dalam usaha untuk terus bertahan dalam industri yang terjejas teruk akibat krisis Covid-19.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pertikaian antara AirAsia Berhad dan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) berhubung caj perkhidmatan penumpang (PSC) masih belum reda.

Hari ini, AirAsia secara sinis menyindir MAHB yang merekodkan keuntungan tiga kali ganda pada tahun 2017 kepada RM237 juta berbanding RM73 juta pada tahun sebelumnya.

Dakwa AirAsia, angka itu bukan sukar pun hendak dicapai kerana MAHB monopoli sebagai pengendali lapangan terbang.

Namun syarikat penerbangan itu mendakwa dominasi struktur dan struktur monopoli perniagaan menyebabkan MAHB memberi tekanan kepada kenaikan kos operasi di lapangan terbang kendalikan operator itu.

Contohnya dalam isu peningkatan harga PSC yang dikenakan oleh pengendali lapangan terbang itu kepada AirAsia.

“Walaupun harga tidak wajar dinaikkan, seperti peningkatan PSC yang dikenakan oleh MAHB, tetap akan memberi kesan kepada pelanggan biarpun mereka tidak ada pilihan, selain menggunakan perkhidmatan itu, yang sebenarnya akan menjejaskan perniagaan.

“Akhirnya perniagaan akan lingkup (jumlah ketibaan, pembelanjaan berbilion oleh para pelancong di Malaysia dan AirAsia menyeru penguatkuasa dan pembuat polisi untuk menolak inisiatif yang tidak wajar dan tidak munasabah oleh MAHB yang didakwa menggunakan kedudukan monopoli untuk terus mengaut keuntungan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Riad Asmat.

Tambah Riad, caj tambahan RM23 yang akan dikutip berjumlah lebih daripada RM100 juta setahun itu bukan untuk diberikan kepada kerajaan.

“MAHB akan terus menjadi antara syarikat yang paling menguntungkan untuk tempoh bertahun-tahun yang akan datang. Tetapi akan memudaratkan ekonomi Malaysia dan memberi kesan kepada pemangkin pertumbuhan ekonomi negara seperti AirAsia dan AirAsia X,” ujarnya.

Mengulas kenyataan MAHB yang mengatakan tambahan RM23 untuk PSC bagi setiap penumpang disebabkan terikat dengan Artikel 15 Konvensyen Chicago 1944, Riad berkata: “Hal Ini boleh menjadi bahan ketawa.

“MAHB merujuk kepada konvensyen yang diwartakan pada tahun 1944, yang mana Jepun masih memerintah Tanah Melayu dan ketika Frank Whittle masih sedang menguji enjin jet dan hanya golongan yang berkemampuan boleh terbang,” katanya. – MalaysiaGazette