SEBERANG PERAI – Trend ubah suai motosikal ala mat rempit kini semakin berleluasa dalam kalangan penunggang muda di Pulau Pinang.

Ia terbukti apabila majoriti mereka ditahan menerusi Ops Kesan yang dilaksanakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang sekitar negeri ini hari ini.

Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berkata, pihaknya telah mengambil tindakan ke atas 35 penunggang yang didapati mengubah suai motosikal mereka dalam operasi tersebut.

Adenan (dua dari kanan).

Daripada jumlah itu, sebanyak enam buah motosikal disita susulan masing-masing mereka telah melakukan modifikasi secara melampau iaitu tiada brek belakang serta tukar unit kawalan enjin (ECU).

“Ikutkan ada lapan jenis kesalahan yang dikenal pasti motosikal tersebut digunakan bagi kegiatan lumba haram iaitu guna tayar terlalu kecil (tayar sotong), tukar ECU, buang brek, ekzos bising, tukar blok enjin, tiada cermin sisi, tukar swing arm dan nombor pendaftaran fancy.

“Jadi bila kita kesan penunggang ada melakukan kesalahan seperti dinyatakan itu kita akan ambil tindakan saman namun sekiranya modifikasi itu melampau kita akan sita dan pemilik perlu menukar semula komponen asal sebelum mengambil motosikal mereka.

Tiada brek, tukar swing arm antara motosikal yang disita JPJ.

“Sekiranya pemilik gagal menukar semula komponen asal mereka tidak boleh membayar saman sekali gus motosikal kekal dalam sitaan bagi satu tempoh tertentu,” katanya kepada pemberita hari ini.

Antara motosikal yang paling banyak diubah suai adalah Yamaha 125z, Y15, Y16, Honda RS150 dan EX-5.

Tambah Adenan, tindakan mereka mengubah motosikal ala mat rempit itu bukan sahaja membahayakan diri malah turut mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

“Jadi kita laksanakan Ops Kesan untuk memastikan penunggang atau pemilik motosikal sebegini memberhentikan kegiatan mereka selain kita hendak cegah sebelum sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

Sebanyak 885 notis saman dikeluarkan atas kesalahan ubah suai motosikal sejak Januari lalu.

“Sehubungan, kita harap dan nasihatkan penunggang yang telah ubah suai motosikal mereka tukarkan semula kepada komponen asal bagi mengelakkan tindakan saman serta sita,” katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama Adenan memaklumkan sebanyak 885 notis saman telah dikeluarkan atas kesalahan ubah suai motosikal sejak Januari lalu.

Bagi kesalahan nombor fancy pula, sebanyak 1,009 notis dikeluarkan bagi tempoh sama. – MalaysiaGazette