Menteri Kanan Pendidikan, Senator Dr. Mohd Radzi Md Jidin (kanan) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif, Malaysia Press Institute (MPI), Datuk Dr. Chamil Wariya (kiri) menyampaikan Anugerah Khas Juri kepada bekas Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Allahyarham Datuk Ahmad A.Talib yang diwakili anaknya, Sophia Ahmad pada Malam Wartawan Malaysia 2020 di Majestic Hotel Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 11 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Malaysian Press Institute (MPI) hari ini menggesa kerajaan mengumumkan pakej rangsangan ekonomi khas kepada industri media yang kini berdepan dengan saat sukar untuk meneruskan operasi ketika Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Datuk Dr Chamil Wariya berkata, akibatnya ramai wartawan kehilangan pekerjaan selepas beberapa syarikat media terjejas dan menamatkan operasi akibat kekangan dana.

“Dunia media sekarang ini sakit dan teruk malah ada sekumpulan mereka mencadangkan supaya kerajaan juga memperkenalkan pakej rangsangan khas untuk media.

“Berdasarkan apa yang kita dengar wartawan kehilangan pekerjaan di alam nyata.

“Cuma di situ belum ada lagi duit yang boleh menampung kos operasi,” katanya berucap pada Malam Wartawan Malaysia 2020 di Hotel Majestic malam ini.

Turut hadir, Menteri Kanan Pendidikan Senator Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Ahli Dewan Negara, Ras Adiba Mohd Radzi.

Chamil juga percaya nasib wartawan boleh ‘diselamatkan’ jika berlakunya penghijrahan dari media konvensional kepada portal berita yang dijangka tumbuh dengan banyak.

“Saya percaya lama kelamaan apabila para pengiklan mula merasakan bahawa dengan membeli ruang dalam alam maya adalah lebih menguntungkan.

“Maka ketika itu portal-portal berita dan sebagainya boleh menjadi organisasi media yang vible dari segi ekonomi,” katanya.

Sementara itu, mengulas Malam Wartawan Malaysia 2020, sebanyak 20 kategori dipertandingkan untuk Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2019 (HKM2019) dengan nilai hadiah berjumlah RM300,000.

Antara kategori yang dipertandingkan ialah Infografik Terbaik, Desain Halaman Pertama Terbaik, Kewartawanan Foto Cemerlang, Hadiah Wartawan Muda A. Samad Ismail, Penulisan Kolum/ Rencana Pengarang, Kartun Editorial Terbaik, Foto Esei Cemerlang, Kewartawanan Penyiasatan Cemerlang, Laporan Radio Terbaik, Kewartawanan Antarabangsa Cemerlang, Dokumentari Video Terbaik, Penulisan Rencana Cemerlang, Kewartawanan Alam Sekitar Cemerlang Petronas, Kewartawanan Multimedia Terbaik dan Berita Video Terbaik dan Laporan Berita Cemerlang.

Sementara itu, Bekas Pengarah Eksekutif Berita dan Operasi Editorial Media Prima Berhad, Allahyarham Datuk Ahmad A. Talib menerima Anugerah Khas Juri membawa pulang wang tunai RM10,000 trofi dan sijil penghargaan.

Pada tahun ini juga, Malam Wartawan Malaysia 2020 tidak menawarkan Anugerah Kajai seperti kebiasaannya.

Turut hadir Tokoh Wartawan Negara 2011, Datuk A. Kadir Jasin; Tokoh Wartawan Negara 2019, Tan Sri Johan Jaafar serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz. – MalaysiaGazette