Calon MUDA N.41 Puteri Wangsa, Amira Aisya (kanan) bersama ibunya, Rosita Manas (tengah) beramah mesra dengan jentera BN bagi meraih undi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pasar Cina Taman Daya, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 27 FEBRUARI 2022.

JOHOR BAHRU – Parti-parti sekutu Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diajak untuk beralih daripada ‘politik bergaduh kerusi’.

Calon MUDA Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa Amira Aisya Abdul Aziz berkata, selepas proses penamaan calon yang berlangsung semalam, semua parti yang bertanding sepatutnya telah mula memberi tumpuan kepada rakyat.

“Bagi saya apa-apa pun semangat demokrasi itu perlu kita raikan dan sekarang masa untuk kita buktikan kepada rakyat kita serius untuk menjaga negeri Johor dan benar-benar mahu memimpin negeri Johor.

Move daripada politik bergaduh kerusi, kita perlu fokus apa yang hendak kita tawarkan kepada rakyat Johor,” kata Amira Aisya kepada MalaysiaGazette

Amira Aisya diminta mengulas laporan media bahawa Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kecewa dengan pertembungan di kerusi DUN Larkin antara PKR dan MUDA.

Jelas Setiausaha Agung MUDA itu, semua parti seharusnya bergerak ke hadapan kerana pertembungan di DUN itu tidak dapat dielakkan.

“Saya rasa apabila kita bercerita tentang pertembungan tersebut itu adalah satu benda yang tidak dapat dielakkan.

“Benda itu telahpun berlaku dan penamaan calon telah pun dibuat. Kita kena bergerak ke hadapan,” kata Amira Aisya.

Anwar dilaporkan berkata, semasa mesyuarat mengenai pengagihan kerusi, tiada masalah timbul antara PKR dan parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang lain kerana keputusan dibuat dengan semangat setiakawan.

Sementara itu, Amira Aisya berkata, dirinya tidak menghadapi sebarang masalah dengan sekutu MUDA iaitu DAP, Amanah dan PKR di DUN Puteri Wangsa.

Malah ada antara rakan dalam komponen Pakatan Harapan itu membantunya ketika menjalankan kempen pilihan raya.

“Di Puteri Wangsa alhamdullilah kerjasama dengan kawan-kawan parti PH itu masih kuat.

“Malah ketika saya hadir ke program di The Port, saya telah ditemani oleh YB Howard Lee dan saya masih ramai kawan-kawan yang sangat baik, sangat akrab dalam PKR,” kata Amira Aisya.

Amira Aisya (kiri) memeluk ibunya, Rosita Manas sebelum berjumpa penduduk bagi meraih undi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pasar Cina Taman Daya, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 27 FEBRUARI 2022.

Jelas Amira Aisya, tidak seperti parti-parti yang telah bertapak lama, MUDA adalah sebuah parti baharu yang mempunyai jentera kempen yang kecil.

Bagaimanapun semangat parti itu untuk membantu rakyat adalah lebih besar berbanding saiz parti yang masih baharu itu.

“Alhamdullilah, kalau nak bandingkan jentera untuk parti MUDA dan parti-parti lain yang sudah berdekad lama, sememangnya jentera MUDA tidak sebanyak atau semegah parti-parti lama

“Tapi apa yang orang hendak lihat untuk masa sekarang bukan jentera berpuluh-puluh, ramai. Tapi apa yang orang ingat, biarlah sedikit tapi semangat kita besar,” katanya.

Calon MUDA N.41 Puteri Wangsa, Amira Aisya (kanan) bersama ibunya, Rosita Manas (dua kanan) beramah mesra dengan peniaga bagi meraih undi sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Pasar Cina Taman Daya, Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 27 FEBRUARI 2022.

Menurut Amira Aisya, semangat besar MUDA telah diterjemahkan ketika parti itu membantu mangsa-mangsa banjir hujung tahun lalu. MUDA berjaya mengerakkan misi banjir keseluruh negara.

Beliau ditemui ketika bertemu pengundi di Pasar Pagi Cina Taman Daya di sini. Amira Aisya yang ditemani ibunya Rosita Manas, 56, diterima dengan mesra oleh penduduk di kawasan itu.

“Alhamdullilah rata-rata sokongan sangat bagus tapi pada masa sama banyak lagi tempat yang saya pergi dan ramai orang yang perlu saya jumpa.

“Sebab Puteri Wangsa ini pengundinya sangat ramai. Tempat juga sangat luas jadi kita tidak boleh gembira dengan beberapa kerja sahaja. Ada dua minggu kempen saya akan pergi bersungguh-sungguh,” kata Amira Aisya bersemangat. – MalaysiaGazette.