Kissing Krist & Singto
JMM hanya mengetahui program,'Thailand Fans: Together in Kuala Lumpur’ disertai dua ikon LGBT itu selepas poster program berkenaan bertajuk ‘Kissing Krist & Singto’ tular di laman sosial.

KUALA LUMPUR – Jabatan Muzium Malaysia (JMM) hari ini membatalkan serta-merta program sesi bertemu peminat yang disertai oleh ikon pasangan songsang dari Thailand di auditorium Muzium Negara, pada Sabtu ini.

Menurut JMM, ia bercanggah dengan permohonan pihak penganjur yang tidak menyatakan sesi itu turut disertai dua artis kontroversi terkenal sebagai ikon lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dari negara jiran itu.

“Sebaran ini amat memeranjatkan dan bercanggah dengan permohonan awal yang dikemukakan pihak penganjur kepada JMM.

“Justeru, JMM telah bertindak membatalkan permohonan tersebut serta-merta,” kata JMM dalam satu kenyataan, hari ini.

JMM hanya mengetahui program ‘Thailand Fans: Together in Kuala Lumpur’ disertai dua ikon LGBT itu selepas poster program berkenaan bertajuk ‘Kissing Krist & Singto’ tular di laman sosial.

JMM berkata, pihaknya sudah menghubungi penganjur berhubung perkara berkenaan dan keputusan pembatalan itu muktamad walaupun atas tujuan amal.

“Semalam, JMM mengeluarkan penafian mengenai penganjuran program itu berikutan permohonan awal daripada penganjur pada 31 Mei lalu bagi mengadakan sesi bertemu peminat artis Thailand, iaitu ’Thailand Fans: Together in Kuala Lumpur’ dan bukan penganjuran ‘Kissing Krist & Singto.

“JMM hanya mengetahui mengenai program membabitkan dua artis ikon LGBT itu selepas poster mengenainya tular di media sosial selain kehadiran mereka (Krist dan Singto) disahkan oleh penganjur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

JMM turut berkata, penganjur membuat permohonan program terbabit bertujuan Malaysia di mata peminat artis Thailand yang datang dari seluruh Asia.

Antara aktiviti yang dijadualkan ialah sesi temubual antara artis Thailand dan peminat; sesi foto berkumpulan; sesi tanda tangan; mini konsert; ‘fun games’ antara artis dan peminat di atas pentas dan tayangan video ‘Malaysia Truly Asia’.

“Bagaimanapun, dalam surat permohonan itu tidak dinyatakan nama artis Thailand yang terbabit dalam program itu nanti.

“Sebaik menerima maklumat mengenai pengesahan pembabitan dua artis ikon LGBT itu, JMM mengambil langkah membatalkannya,” katanya dalam kenyataan itu.

JMM juga menyatakan pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu yang melanggar nilai Islam dan norma masyarakat yang dilihat boleh mengancam keharmonian negara. – MalaysiaGazette