Mohamad Sabu
Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberikan lampu hijau kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) untuk menyiasat mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti kartel padi dan beras.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementeriannya tiada halangan dan sentiasa bersedia memberikan sebarang maklumat kepada MyCC pada bila-bila masa diperlukan suruhanjaya itu.

“Semasa cuti raya minggu lepas, masih ada rakan-rakan yang bertanya tentang benarkah wujud kartel padi dan beras? Soalan ni saya dah jawab beberapa kali pada media sebelum ini tapi mungkin mereka terlepas pandang.

“Negara kita ada Suruhanjaya Persaingan Malaysia yang lebih dikenali sebagai MyCC. Antara skop tugas MyCC ini adalah menyiasat kewujudan kartel dalam ekonomi negara kita.

“KPKM tiada halangan dan sentiasa bersedia memberikan sebarang maklumat kepada MyCC pada bila-bila masa diperlukan.

KPKM juga tidak akan melindungi jika ada mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti kartel dan tidak akan mencampuri sebarang urusan siasatan oleh pihak MyCC,” katanya di Facebook rasminya hari ini.

Justeru Mohamad berharap penjelasan ini dapat memberikan pencerahan pada semua.

“Soalan ini saya sudah jawab beberapa kali pada media sebelum ini tapi mungkin mereka terlepas pandang.

“Semoga penjelasan ini dapat memberikan pencerahan pada semua,” katanya lagi.

Januari lalu, KPKM menafikan kewujudan kartel atau mafia yang didakwa terbabit dalam penentuan harga beras dan benih padi.

Pihaknya telah mengeluarkan 39,000 lesen dalam usaha memastikan tiada kartel atau mafia memonopoli industri padi dan beras negara. – MalaysiaGazette