Awesome TV.

KUALA LUMPUR – MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) akan menggantung Awesome Broadcasting Sdn Bhd (Awesome TV) daripada platform penyiarannya kerana isu komersial.

Penggantungan ini berkuat kuasa 2 November ini.

“Keputusan penggantungan berkuat kuasa 2 November 2023 dicapai disebabkan isu komersial berterusan di antara MYTV dan Awesome TV walaupun pelbagai usaha dilakukan di antara kedua-dua pihak untuk menyelesaikannya.

“Penggantungan Awesome TV ini amat dikesali dan kami dengan ikhlas memohon maaf kepada semua penonton,” kata MYTV dalam satu kenyataan.

Meskipun begitu, MYTV berkata, ia akan terus menawarkan akses kepada pelbagai program menarik dan memberi jaminan sedang berusaha mencari jalan penyelesaian untuk semua pihak.

“Kami menghargai sokongan penonton dan memberi jaminan kepada mereka bahawa kami bekerja tanpa jemu untuk mencari penyelesaian demi kepentingan semua orang yang terlibat,” ujarnya.

MYTV  adalah satu-satunya platform Malaysia untuk TV digital percuma, kini diakses oleh 6.3 juta penonton di seluruh negara, tanpa yuran atau caj bulanan.- MalaysiaGazette