Gula dikaitkan dengan pelbagai penyakit termasuk diabetes dan obesiti.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan-pertubuhan kesihatan telah menyuarakan kebimbangan terhadap cadangan pengurangan harga gula kerana perkara ini bercanggah dengan matlamat bagi mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia akibat kenaikan kadar kencing manis dan kes obesiti di negara ini.

Presiden Institut Diabetes Negara (NADI), Emeritus Profesor Datuk Mustaffa Embong, berkata, harga gula yang rendah sama sekali tidak membantu dalam mengurangkan pengambilan gula dan risiko penyakit obesiti, berat badan berlebihan..

Sebaliknya, ia akan menyebabkan diabetes serta penyakit lain seperti karies gigi dalam kalangan kanak-kanak.

“Malah, perkara ini berkemungkinan besar akan meningkatkan lagi penyakit berkaitan dengan gula yang mana secara tidak langsung akan meningkatkan lagi perbelanjaan kesihatan negara untuk merawat penyakit-penyakit kronik berkaitan gula.

Berdasarkan Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 2015, kira-kira 17 peratus daripada populasi berumur 18 tahun ke atas adalah pesakit kencing manis, dianggarkan hanya 8 peratus didiagnosis dan 9 peratus lagi tidak didiagnosis.

Tambahan pula, seramai1.5 juta pesakit diabetes mendapatkan rawatan di kemudahan kesihatan dan kos rawatan bagi yang tidak rumit adalah RM3 bilion hingga RM4 bilion setahun.

Manakala, Presiden Persatuan Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Rajbans Singh menegaskan rakyat Malaysia merupakan salah satu daripada pengguna gula per kapita tertinggi di dunia dan satu cara untuk mengawal pengambilan tidak sihat adalah dengan mengenakan cukai ke atas gula.

“Kita merupakan antara negara yang merekodkan kadar obesiti tertinggi di Asia Tenggara dan kini mempunyai pesakit diabetes terbanyak di Asia.

“Kita menyedari bahawa gula halus merupakan penyebab utama Sindrom Metabolik di dunia dan penyakit-penyakit seperti diabetes, hipertensi, hiperlipidemia, penyakit jantung, strok dan kanser -semuanya berkaitan dengan sindrom metabolik dan obesiti,” tambahnya.

Malah, ada kajian yang mengatakan gula halus telah menyebabkan lebih banyak kes kematian di seluruh dunia berbanding merokok.

Lantaran itu, pengurangan harga gula boleh memberikan gambaran yang salah bahawa gula tidak menjadi satu masalah sedangkan harga rokok dinaikkan kerana sememangnya tidak baik untuk kesihatan seperti yang dipersetujui semua pihak,” tambah Dr. Rajbans. – MalaysiaGazette