Buat julung kalinya, Anugerah Nasyid Malaysia atau ANAM 2020 bakal dianjurkan oleh Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia) pada 27 Disember ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Buat julung kalinya, Anugerah Nasyid Malaysia atau ANAM 2020 bakal dianjurkan oleh Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia) pada 27 Disember ini.

ANAM 202 mendapat sokongan dan kerjasama daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) serta Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai penyiar rasmi bakal disiarkan secara langsung di TV1 pukul 9 malam.

Anugerah itu bakal mempertandingkan 11 kategori dengan enam kategori yang dinilai oleh juri profesional, tiga kategori dinilai melalui undian peminat dan dua kategori anugerah khas juri.

Terdapat juga satu kategori yang melibatkan artis nasyid dari Indonesia, Thailand, Brunei dan Singapura.

ANAM 2020 adalah salah satu langkah awal ke arah penganjuran Festival Nasyid Antarabangsa Malaysia pada tahun 2021 sejajar dengan status Malaysia sebagai The Home of Contemporary Nasyeed di persada dunia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, industri nasyid di Malaysia telah mencapai pelbagai kejayaan yang membanggakan di pentas dunia sejak awal kemunculannya walaupun kurang diberi perhatian sebelum ini.

Jelas beliau, artis-artis nasyid negara telah diundang membuat persembahan merentasi pelbagai benua malah ada yang tersenarai dalam 500 Muslim berpengaruh di dunia.

“Jadi, sudah tiba masanya untuk kita membangunkan potensi yang ada pada industri nasyid Malaysia supaya ianya bukan sahaja mampu mengharumkan nama negara malah mampu membawa impak ekonomi dalam jangka panjang melalui pelbagai sektor hiliran melibatkan industri pelancongan, industri halal dan industri muzik itu sendiri.

“Penganjuran Anugerah Nasyid Malaysia 2020 merupakan satu langkah penting dalam merealisasikannya di masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri pula menjelaskan impiannya mahu melihat industri nasyid kembali bangkit seperti pada awal kemunculannya.

Beliau melihat nasyid sebagai satu cabang kesenian Islam yang bukan sahaja menawarkan hiburan yang sihat dan mendidik kepada masyarakat tetapi juga berperanan sebagai salah satu instrumen dakwah berkesan khususnya bagi generasi muda hari ini.

Melalui penganjuran ANAM 2020, jelas beliau, ia akan menggalakkan penghasilan karya-karya nasyid berkualiti secara berterusan sekaligus menghidangkan masyarakat dengan hiburan yang mendidik jiwa.

“Mesej-mesej positif dan nilai-nilai murni yang dibawa melalui lagu-lagu nasyid juga diharap dapat membentuk masyarakat Malaysia dan dunia yang bersatu padu dan sayang-menyayangi antara satu sama lain.

Pengerusi Jawatankuasa Penganjur ANAM 2020 yang juga merupakan Presiden Munsyid Malaysia, Muhamad Razin Che Mud berterima kasih kepada kedua-dua menteri itu atas keprihatinan mereka kepada pembangunan dan perkembangan industri nasyid Malaysia.

“Inilah kali pertama, industri nasyid Malaysia mendapat sokongan yang sebegitu besar oleh pihak kerajaan sehingga ke tahap ini. Apatah lagi dalam keadaan pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan besar kepada penggiat industri nasyid dan muzik secara keseluruhannya.

“Maka penganjuran ANAM 2020 akan memberi manfaat kepada lebih 300 penggiat industri secara langsung dan tidak langsung sama ada penyanyi, pemuzik mahupun pekerja di belakang tabir,” ujarnya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari www.anam.my atau instagram anam.my dan facebook page Anugerah Nasyid Malaysia untuk perkembangan terkini ANAM 2020. – MalaysiaGazette