Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed menyaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Naza Corporation Holdings, SM Nasarudin SM Nasimuddin (dua kiri) bertukar dokumen dengan Ahli Jawatankuasa Eksekutif PSA Groupe, Carlos Gomes (dua kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman Pelaburan Groupe PSA dalam Naza Automotive Manufacturing Plant Gurun Kedah di Perdana Putra, Putrajaya. foto IQBAL BASRI, 26 FEBRUARI 2018

PUTRAJAYA – NAZA Corporation Holdings (Kumpulan Naza) menjual 56 peratus kepentingan di dalam Naza Automotive Manufacturing (NAM) kepada syarikat pengeluar kereta dari Perancis, Groupe PSA.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Kumpulan Automotif), Datuk Samson Anand George berkata, pelaburan yang dibuat oleh pengeluar kereta kedua terbesar di Eropah itu agak signifikan tetapi mereka masih tidak boleh membuat pengumumannya sekarang.

“Pengambilan alih itu melibatkan 56 peratus kepentingan di dalam NAM tetapi kami tidak boleh mendedahkan nilai sebenarnya buat masa ini tetapi jumlahnya memang besar,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian perjanjian di antara Kumpulan Naza dengan Groupe PSA di sini hari ini.

Jelas Samson, pemeteraian itu mampu merealisasikan hasrat Kumpulan Naza untuk mengembangkan perniagaan kereta Eropah itu sebanyak 10 peratus tahun ini dan 18 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Syarikat automotif persendirian terbesar di Malaysia itu mensasarkan pengedaran model-model baharu Groupe PSA yang mana merupakan satu-satunya syarikat Eropah yang berminat untuk mengambil alih syarikat automotif tempatan.

Menerusi perjanjian tersebut, kedua-dua syarikat automotif itu akan berkongsi hab pengeluaran di Gurun Kedah serta akan bersama-sama mengeluarkan kenderaan jenama Groupe PSA untuk pasaran Malaysia dan ASEAN.

NAM merupakan kilang pertama Groupe PSA di negara ASEAN.

Ia dijangka menjadi hab eksport untuk negara-negara serantau dengan unjuran pengeluaran sebanyak 18,000 unit tahun depan dengan 21,000 unit lagi bakal dikeluarkan pada 2020 yang akan menjana perolehan masing-masing sebanyak RM724 juta dan RM967 juta.

Ini bakal membuka peluang kepada 70 lagi vendor tempatan dalam tempoh lima tahun akan datang sekali gus mencipta 1,200 peluang pekerjaan di Kedah.

Groupe PSA pula akan mengukuhkan pemindahan teknologi proses pengeluaran kepada NAM.

Menerusi perjanjian ini juga, kedua-dua syarikat dijangka memperkenalkan model-model baharu dan membantu industri automatif Malaysia menguasai teknologi terkini.

Kumpulan Naza akan menjadi pengedar tunggal Peugeot, Citroen dan DS Automobile dalam pasaran domestik selain meneroka prospek pengedaran dalam pasaran lain ASEAN.

Majlis pemeteraian perjanjian jual beli itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. – MalaysiaGazette