Nedim menaja kos perubatan bayi kepada Danial Rayyan termasuk kos pengangkutan mereka ke Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Suami pelakon Nora Danish, Nedim Nazri tampil mengotakan janjinya untuk membawa seorang bayi yang menghidap ekzema kronik mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan swasta.

Menerusi entri di Instagram (IG), ayah kepada bayi tersebut, Danial Rayyan melahirkan rasa syukur apabila Nedim dan Nora sanggup membantu mereka.

“Terima  kasih Bos Nedim dan Nora Danish sebab sudi membantu kami. Semoga Allah luaskan rezeki kamu sekeluarga,” tulisnya.

Sebelum ini, menerusi perkongsian yang dimuat naik di Instagram lawak_ker_der, admin page berkenaan telah memuat naik screenshot posting seorang lelaki bernama Danial Rayyan yang meminta doa buat anaknya.

Menurut posting berkenaan, Danial Rayyan menjelaskan anaknya menghidap ekzema kritikal dan perlu dirujuk setiap minggu ke hospital untuk rawatan.

Nedim pada bahagian komen memaklumkan sedia menaja kos perubatan bayi berkenaan termasuk kos pengangkutan mereka ke Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette