Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (kanan) menunjukkan dokumen Rancangan Malaysia Kedua Belas 2021-2025 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI.

 KUALA LUMPUR – Fokus utama Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) Mencapai Negara Berpendapatan Tinggi hanya dapat direalisasikan sekiranya semua pihak terutama ahli politik memperlihatkan kesungguhan untuk menjayakannya.

Profesor Ekonomi Universiti Malaya, Professor Ulung Datuk Dr Rajah Rasiah berkata, Malaysia boleh mencapai sasaran berkenaan kerana mempunyai rakyat yang berpendidikan dan bijak serta infrastuktur yang lengkap.

Namun satu-satunya penghalang bagi mencapai matlamat berkenaan adalah percanggahan pendapat dalam kalangan ahli politik dan pengikut parti.

“Kerana buat masa ini antara masalah yang dihadapi Malaysia, satu daripadanya kita lihat adanya parti-parti yang bersongsang pandangan, bercanggah dengan pencapaian. 

“Ini bermakna kalaulah parti berkenaan yang memimpin tidak senang dengan parti lain maka tidak ada sokongan. Kita harus gembira bila Malaysia terus maju, bukan kerana A yang memimpin atau B yang memerintah,” tegasnya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menetapkan tujuh Anjakan Besar dalam Mencapai Negara Berpendapatan Tinggi iaitu Industri Pertumbuhan Tinggi dan Bernilai Tinggi (HGHV) berasaskan teknologi dan digital, elektrik dan elektronik, pertanian dan industri asas tani serta nadir bumi.

Ia turut merangkumi Pemerkasaan Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS)  dan perusahaan sosial, Pengukuhan jaringan pengangkutan awam dan Ketersediaan bakat masa  hadapan.

Profesor Ekonomi Universiti Malaya, Professor Ulung Datuk Dr Rajah Rasiah bercakap kepada Malaysia Gazette mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 di Institut Asia Eropah, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 29 SEPTEMBER 2023.

Rajah Rasiah berkata, dalam HGHV Pertanian dan Industri Asas Tani, Malaysia boleh mencontohi kejayaan Taiwan yang walaupun sebuah negara bekeluasan kecil namun berjaya mengeluarkan hasil pertanian untuk kegunaan rakyat sendiri.

Beliau berkata, Malaysia sebaliknya telah mengabaikan sektor strategik itu selepas pentadbiran Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak.

“Kalau kita lihat kecukupan beras, Malaysia telah catatkan kecukupan dalam masa Tun Razak hasil daripada dasar-dasar yang digembelingkan beliau. Pada 1976 Malaysia mencapai 87 peratus kecukupan beras yang kini merosot kepada 69 peratus. 

“Kalau kita lihat Taiwan, negara itu satu ketika bergantung pertanian kepada China, tetapi bila berlaku ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, Taiwan memulihkan semula sektor pertanian.

“Negara itu antara lain berjaya meningkatkan kecukupan beras kepada 93 peratus walaupun Taiwan kurang ruang pertanian kerana tanah yang penuh sulfur,” katanya.

Malaysia boleh menggunakan HGHV Teknologi dan Digital serta Elektrik dan Elektronik bagi membangunkan semula sektor pertanian dan industri asas tani dengan menggunakan peralatan moden dan jentera canggih.

Temubual bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Mahir, Mohd. Rizan Hassan di ÔBandar Bukit Mahkota, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 25 SEPTEMBER 2023.

Sementara itu Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Mahir Mohd. Rizan Hassan berkata, Ketersediaan bakat masa hadapan amat penting dalam Mencapai Negara Berpendapatan Tinggi.

Program Akademi dalam Industri (AiI) yang diperkenalkan Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menurut beliau, membantu belia tercicir untuk mendapat pekerjaan sekali gus menjadi pekerja mahir.

Mohd. Rizan berkata, program AiI bukan sahaja boleh dianggap sebagai pendidikan percuma malah peserta dibayar gaji dan kerja lebih masa.

“Golongan yang tidak habis belajar ini kita panggil belia NEET iaitu not in employment, not in education and not in training. Maksud, belajar pun tak, pergi latihan pendidikan dan kemahiran pun tak.  

“Bila sampai umur 18, 19 tahun mereka macam ‘langgar dinding’. Susah hidup dan mereka mula mencari kemahiran. 

“Bila ada inisiatif seperti AiI, Belia Madani, yang ada subsidi upah kepada majikan, elaun mobiliti mencari pekerjaan kepada pencari kerja dan budak GIG maka penyertaan lebih ramai,” kata Mohd. Rizan.

Tahun ini Projek Belia Mahir yang dikendali beliau berjaya menempatkan lebih 2,500 anak muda yang tercicir pendidikan dalam bidang pekerjaan yang memerlukan kemahiran tinggi.

“Kita salurkan pelajar ini masuk ke alam pekerjaan dahulu. Kebanyakan di hantar ke sektor pelabuhan seperti Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Wesport Pelabuhan Klang selain sektor perkilangan.

“Kita ada kerjasama dengan majikan, jika pekerja ini kekal setahun mereka akan diberikan sijil kemahiran mengikut pengalaman masing-masing.  Itu jaminan kepada mereka. Mereka tak perlu risau untuk berhutang demi mendapatkan pendidikan rasmi dan kemahiran,” katanya.

Antara tapak pameran jualan yang terdapat di Minggu Usahawan Negara 2023 dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) 2023 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN

Pemerkasaan PMKS dan perusahaan sosial pula banyak membantu usahawan mikro seperti pemilik Cherita Chocolate, Rizaini Mokhtar.

Lapan bulan lalu dia mengambil langkah berani dengan membuat pinjaman daripada i-Tekad berjumlah RM50,000 dan membuka premis bagi jualan runcit sekali gus tempat pameran coklat yang dibuat sendiri. 

“Masa ‘solopreneur’ saya buat coklat di rumah, saya juga yang bungkus dan saya juga yang buat pemasaran dengan pergi ke syarikat-syarikat untuk menjual. Kalau banyak pesanan saya gajikan pekerja sementara untuk membantu.

“Tapi sekarang kita buat coklat di kilang mengikut resepi yang saya beri. Bahan-bahan semua kita beli. Kita hanya membungkus, memasar dan menjual.

“Sudah tentu bantuan modal ini mengembangkan perniagaan saya. Dahulu saya takut nak buat pinjaman atau buka premis sendiri. Tapi alhamdullilah modal ini sangat membantu, bayaran pun mudah,” katanya.

Temubual bersama Usahawan Cherita Chocolate, Rizaini Mokhtar bersama anaknya, Nadiah Aminuddin di Bukit Jelutong, Shah Alam. Foto MUHD NA’IM, 23 SEPTEMBER 2023.

Rizani kini mempunyai dua pekerja tetap selain dibantu dua orang anaknya yang melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan produk baharu serta membantu mereka bentuk bungkusan yang menarik dan memberi makna supaya coklat tersebut yang boleh dijadikan hadiah.

Mencapai Negara Berpendapatan Tinggi mensasarkan antara lain Pendapatan Negara Kasar (PNK) per kapita mencapai RM61,000 menjelang 2025, PMKS sumbang 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), ekonomi digital menyumbang 25 peratus kepada KDNK dan 30 teratas dalam kedudukan Indeks Persepsi Rasuah.-MalaysiaGazette